
Boon Siew Honda (BSH) menambah dua fungsi baharu dalam platform digital Honda X iaitu e-Warranty (e-waranti) dan Service History (sejarah servis).
Sebelum bercerita tentang dua ciri terbaharu ini, kami ringkaskan apa itu Honda X:

Apa Itu Honda X?
Satu platform digital percuma untuk pemilik motosikal/skuter Honda dan boleh akses di laman web BSH: hondax.boonsiewhonda.com.my. Tiada caj pendaftaran.
Ciri terkandung dalam Honda X ialah tempahan servis, peringatan servis, senarai pengedar, baucar digital, promosi terkini, berita dan dua ciri terbaharu iaitu e-Warranty dan Service History.
2 Ciri Baharu Honda X
Dengan adanya dua ciri terbaharu ini, pelanggan dan pemilik motosikal boleh mendapat akses serta-merta terhadap status jaminan mereka dan rekod penuh kerja-kerja penyelenggaraan motosikal atau skuter mereka menerusi telefon masing-masing.
Apa Manfaat 2 Ciri Ini?
e-Warranty
Penunggang boleh periksa status perlindungan jaminan motosikal/skuter dan tarikh tempoh akhir melalui aplikasi Honda X. Tidak perlu lawat pengedar atau buku fizikal.
Service History
Pemilik dan pengedar boleh semak rekod penuh yang disahkan untuk setiap servis dibuat ke atas motosikal termasuk tarikh, jenis servis dan pengedar mana yang melakukan kerja-kerja penyelenggaraannya.
Perlu Kemas Kini Aplikasi?
BSH memaklumkan dua ciri itu sudah berfungsi. Pengguna tidak perlu kemas kini aplikasi di telefon pintar masing-masing. Hanya perlu log-in.
2 Ciri Ini Penting?
Satu rekod servis yang disahkan membawa manfaat kepada pemilik dan memudahkan kerja pusat servis rasmi BSH.
Pemilik dan pengedar kini boleh mengesahkan rekod penuh motosikal secara serta-merta, meningkatkan keyakinan untuk semua urusan transaksi dan servis.
Dua ciri terbaharu membantu mengurangkan masa kerja secara manual untuk pemilik rangkaian Honda. Hasilnya, kerja jadi lebih cepat dan servis lebih tepat sebab rekod tersedia ada. Satu manfaat utama apabila ada pemilik motosikal baharu berkunjung ke pengedar Honda lain.
Apa Kata Orang Kuat BSH?
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Kunitomo Asano berkata:
“Kemudahan digital bukan lagi satu bonus, ia suatu perkara yang diharapkan penunggang. Dengan adanya e-Warranty dan Service History, kami memudahkan (urusan) pelanggan untuk mendapatkan maklumat terkini dan membantu pengedar kami memberi perkhidmatan yang lebih baik. Ini sebahagian daripada komitmen lebih luas kami untuk membina pengalaman pemilikan yang telus, cekap dan berfokuskan penunggang.”
