
Banyak pertanyaan mengenai ZXMOTO semenjak pengumuman berita tentang jenama itu akan dibawa ke Malaysia tidak lama lagi.
Menyedari keadaan semasa ini, Mforce Bike Holding (Mforce) mengadakan satu sesi podcast khas bersama Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad untuk berkongsi maklumat.
Perkongsian bermula dengan penjelasan bahawa perbincangan membawa jenama ZXMOTO ke Malaysia sebenarnya bermula tahun lalu dan bukannya selepas ZXMOTO menempah nama di Portugal baru-baru ini.
Asri mendedahkan pertemuan pertama antara Mforce dan pengasas ZXMOTO, Zhang Xue mengambil tempat di Pameran Perdagangan Antarabangsa Motosikal China (CIMAMotor) 2025.
Selepas itu, kedua-dua pihak ada mengadakan lawatan ke Malaysia dan China untuk perbincangan lebih lanjut.
Asri berkata, Xue berkunjung ke ibu pejabat Mforce di Pulau Pinang pada Oktober 2025 dan mengadakan lawatan melihat sendiri semua operasi pemasangan motosikal di kilang Sunlight Power.
Xue kemudiannya meninjau gedung alat ganti Mforce sebelum mengadakan lawatan ke beberapa pengedar produk Mforce untuk mendapat pemahaman lebih jelas tentang cara perniagaan Mforce di Malaysia.
Mereka bersetuju melantik Mforce sebagai pengedar eksklusif jenama ZXMOTO di Malaysia. Buat masa ini, ada tiga model berbeza ZXMOTO sedang diuji di Malaysia mengikut prosedur yang ditetapkan.
Ujian endurance yang akan dibuat di Malaysia melibatkan jarak antara 20,000km sehingga 30,000km. Ada beberapa ujian lain juga akan dibuat untuk memastikan kesesuaian model itu untuk pasaran Malaysia.
Model ZXMOTO akan dijual kelak ada produk pemasangan tempatan (CKD). Cumanya, enjin ZXMOTO akan dibawa secara CBU dari China (enjin lengkap dipasang terus di sana).
ZXMOTO akan membuat debut tempatan di Malaysia Bike Show 2025 yang akan berlangsung di MAEPS Serdang pada 29 Mei hingga 1 Jun 2026.

Asri memberitahu ada beberapa model akan dipamerkan untuk tontonan pengunjung seperti superbike ZXMOTO 820RR, sportbike ZXMOTO 500RR, naked bike ZXMOTO 500F dan model lain seperti scrambler ZXMOTO.
Di MAEPS nanti adalah proses pengenalan jenama (brand introduction). Maklumat awal diterima mengatakan jualan ZXMOTO akan bermula seawal-awalnya Julai 2026.
Pun begitu, jumlah stok tertakluk kepada kiriman dan bekalan dari pihak ZXMOTO di China. Satu perkara didedahkan ialah permintaan untuk ZXMOTO di seluruh dunia melonjak naik selepas mereka menempah kemenangan berganda di WSBK Portugal (kategori WorldSSP).
Mengapa tidak lancar terus? Sebabnya, semua model ZXMOTO itu masih diuji di Malaysia dan perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum ditawarkan kepada pengguna.
Asri menyatakan model yang akan ditawarkan nanti adalah model terkini. Harga? Beliau kata harga yang akan diumumkan nanti akan lebih rendah 20 hingga 30 peratus berbanding pemain utama.
Khabarnya…. anggaran harga untuk siri 500 bawah RM30,000. Berapa agaknya harga untuk ZXMOTO 820RR nanti?



