
Sudah beberapa kali Zonsen (atau dipanggil Zongshen) memberi petunjuk kepada dunia bahawa mereka sebenarnya macam ada idea nak hasilkan sportbike 4 silinder jenama Cyclone.
Tahun 2023, Zonsen ada tayang model prototaip Cyclone RC680R. Setahun kemudian (2024), Zonsen membentuk semula RC680R jadi motosikal pameran Cyclone RC700R.

Ada yang mengatakan model prototaip Cyclone RC680R dan RC700R meniru Honda kerana frem dan enjin 4-silinder yang dipasang pada dua motosikal itu tidak jauh beza daripada model Honda CB650R dan CBR650R.
Bikin dan tayang saja? Adakah itu pendekatan yang diambil untuk model prototaip Cyclone RC680R dan RC700R? Mana sportbike versi pengeluaran sebenar?
Dalam diam….. ada satu dokumen hak intelek sudah difailkan di China membabitkan rekaan model terbaharu Cyclone. Tapi, model motosikal dalam dokumen yang dikemukakan itu dikenali sebagai RC700.

Merujuk beberapa laporan media luar, model terbaru itu sudah dapat rekaan baru berbanding model konsep RC680R dan RC700R. Contohnya:
- Fairing lebih menyerlah dan nampak macam ada pengaruh MotoGP terutamanya komponen winglet.
- Lampu depan jenis tunggal (bukan berkembar macam dua model konsep sebelum ini)
- 2 bolong kemasukan angin dipasang di kiri dan kanan lampu depan
- Bahagian tangki minyak direka semula khususnya di bahagian lutut dan permukaan atas tangki
- Penutup (pelindung) areodinamik kaliper brek
Bukan hanya panel badan, frem motosikal RC700 juga ada bezanya. Kalau tengok lakaran motor itu, seksyen depan jenis tubular bercantum dengan bahagian tengah (pivot swingarm) ala-ala macam gaya MV Agusta.
Bahagian belakang nampak lebih kemas dengan adanya swingarm gaya MotoGP dan ekzos berkembar di susun kemas di sebelah kanan motosikal.
Adakah Cyclone akan memperkenalkan model sportbike 4-silinder sebaris RC700 tahun ini?

