
Kami ada menceritakan tentang kedatangan skuter jenama Nexy+ sejak bulan Februari lalu dan hari ini, skuter ini akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
Nexy+ 180 menggunakan label WMOTO diperkenalkan dengan harga badan RM8,988 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.
WARNA PILIHAN WMOTO Nexy+ 180
Ada empat warna pilihan disediakan iaitu:
- Magic Blue (biru)
- Mildnight Black (hitam)
- Nardo Grey (kelabu)
- Xtreme White (putih)
WMOTO Nexy+ 180 (2025) ini dipasang di kilang MForce Bike Holdings (MForce) di Pulau Pinang dan bermaksud skuter ini adalah produk CKD.
Jadi, mari kita lihat apa yang ada pada skuter WMOTO Nexy+ 180 (2025).
WAJAH DEPAN WMOTO Nexy+ 180

WMOTO Nexy+ 180 (2025) memiliki rupa bentuk menarik dan menggunakan sistem pencahayaan penuh LED. Menariknya, skuter ini juga ada dashcam di bahagian hadapan.

Lampu belakang dan lampu signal berkongsi rumah. Ciri positif untuk mereka yang kurang gemar dengan konsep lampu signal jenis capang. Bar pemegang pembonceng bukannya bersambung dari kiri ke kanan.
SAIZ WMOTO Nexy+ 180

Secara asasnya, skuter WMOTO Nexy+ 180 bukannya terlalu besar atau kecil. Dimensinya dikategori sebagai sederhana. Ini ukuran badannya:
- Panjang: 1,970mm
- Lebar: 770mm
- Tinggi: 1,150mm
- Jarak dari bumi: 150mm
- Jarak antara roda: 1,315mm
Sebenarnya, Nexy+ 180 ini adalah skuter dari syarikat Taige Motor di China. Taige ini adalah anak syarikat kepada pengeluar motosikal terkemuka iaitu Loncin.
BERAT WMOTO Nexy+ 180
Berbekalkan saiz yang agak sederhana, WMOTO Nexy+ 180 (2025) tidak begitu berat. Malah berat kasar skuter ini cuma 142kg.
ENJIN WMOTO Nexy+ 180

NEXY+ 180i dipacu enjin 4 lejang satu silinder (kod enjin KS180F) SOHC, 4 injap dengan sistem penyejukan cecair (liquid cooled). Kapasiti enjin ialah 174cc. Ukuran gerek x lejang pula 61mm x 59.6mm.
Skuter ini boleh menghasilkan kuasa maksimum: 13.6kw (18.2hp) @ 8,500rpm manakala tork puncak boleh dinikmati adalah 17.2Nm pada 6,500rpm.
Penyampaian kuasa dari enjin ke roda belakang dibantu dengan tali sawat. Sistem transmisi skuter ini jenis automatik CVT.

TANGKI MINYAK WMOTO Nexy+ 180
Skuter ini dilengkapi tangki minyak berkapasiti 8 liter dan tempat isian adalah di antara tempat pemijak lantai. Tempat isian petrol dibuka dengan menekan butang yang ada di sebelah sistem kemasukan kekunci pintar

SISTEM HENTI & CENGKAMAN TAYAR WMOTO Nexy+ 180
WMOTO Nexy+ 180 dilengkapi dengan sistem brek cakera sebagai sistem henti. Setiap roda dilengkapi brek cakera tunggal. Untuk roda depan, saiz brek cakera ialah 260mm dan menggunakan kaliper 4 piston.


Roda belakang pula dilengkapi brek cakera 220mm dengan kaliper 1 piston. Kedua-dua sistem brek cakera ini ditingkatkan keberkesanan dan keselamatan membrek dengan adanya teknologi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Tayar depan berukuran 110/70 – 14 manakala tayar belakang pula 130/70 – 13
Tidak cukup dengan itu, WMOTO Nexy+ 180 ada Sistem Kawalan Cengkaman (Traction Control – TCS) yang boleh dipadamkan dengan menekan butang di konsol kiri.
TEMPAT DUDUK WMOTO Nexy+ 180
Ketinggian tempat duduk WMOTO Nexy+ 180 ialah 765mm. Dan sebelum terlupa, meter adalah jenis TFT berwarna 6 inci berwarna.
































