Ini cara guna butang Y-Shift untuk skuter Yamaha NVX 155 SP (2025)

Sehari selepas melancarkan skuter Yamaha NVX 155 (2025) generasi baharu (atau V3), Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengajak media dan influencer permotoran untuk menunggang uji model tersebut di Sepang.

Sesi tunggang uji pada pagi Ahad lalu ini dibuat di laluan berturap tar di tepi Litar Antarabangsa Sepang (Litar SIC), bukannya di trek kerana ada perlumbaan pada hari kejadian.

Sebanyak 4 unit skuter Yamaha NVX SP (2025) disediakan untuk sesi tunggang uji dan kumpulan peserta diiringi marshal di hadapan konvoi dan seorang lagi mengekori di belakang.

UJI APA DALAM MASA SINGKAT?

Setiap peserta berpeluang menunggang dua pusingan dengan setiap satu mengambil masa antara 10 minit hingga 15 minit. Macam dikongkong masa kan?

Ya, memang betul… tak dinafikan. Namun, apa yang HLYM ingin tunjuk dan kongsikan kepada peserta tunggang uji boleh dianggap sebagai: Tercapai.

Mereka mahu pengamal media dan influencer permotoran faham dan merasai apa sebenarnya Y-Shift serta bagaimana sistem ini berfungsi

MANA TURBO Y-SHIFT?

Y-Shift ini bukannya turbo. Bukannya bila tekan butang, skuter ini boleh terus berdesup ke depan.

Istilah Turbo (yang digunakan pada nama model Aerox dan NMAX di Indonesia) itu sebenarnya tak seperti apa yang tergambar dalam fikiran. Bukannya komponen unit turbo.

Y-Shift ini memberi peluang kepada penunggang untuk sesuaikan tindak balas enjin dengan situasi tunggangan.

Yamaha NVX SP masih gunakan transmisi jenis CVT automatik tapi ada tambahan seunit motor elektrik. Video ini tunjuk cara ia berfungsi:`

Cumanya…. apabila menggunakan butang Y-Shift di konsol kiri, skuter ini boleh bertindak macam drop gear atau down shift.

3 Peringkat Y-Shift

Ada tiga peringkat (level) Y-Shift iaitu 1 (tarikan biasa), 2 (tarikan sederhana) dan 3 (tarikan paling kuat).

Kami sempat mencuba ‘down shift gear’ NVX SP ini semasa naik dan turun laluan berbukit. Ini gambaran situasinya:

  • Semasa naik bukit: Y-Shift ibarat kita ‘drop gear’ jadi gear rendah untuk mengurangkan kelajuan enjin dan menghasilkan kuasa tork lebih tinggi untuk mendaki dengan lebih mudah. Tak perlu perah throttle smpai habis sambil mendengar enjin skuter meraung naik bukit.
  • Semasa turun bukit: Y-Shift bantu hasilkan pembrekan enjin (engine breaking). Peringkat 1 terasa sedikit tarikan dan peringkat 3 tarikan paling kuat. Tapi anda masih perlu bermain brek dalam keadaan jalan agak curam dan berselekoh.

Enjin dan transmisi CVT Yamaha NVX SP akan kembali kepada keadaan biasa atau mengikut kesesuaian berdasarkan tindak balas memulas pendikit minyak (throttle).

Y-Shift sama ada peringkat 1, 2 atau 3 akan terpadam mengikut RPM enjin dan bukannya berapa laju skuter bergerak.

Kami dapati, sistem Y-Shift ini akan terpadam apabila anda pulas semula pendikit minyak dan meter RPM naik antara 6,000rpm hingga 7,000rpm.

Ada keadaan indikator meter menunjukkan Y-Shift turun dari peringkat 3 kepada peringkat 1 terlebih dulu sebelum padam tapi semua berlaku dalam julat RPM sama iaitu 6,000rpm hingga 7,000rpm.

Pengguna cuma boleh kawal ‘down shift’. Untuk ‘up shift’ dan kembali ke keadaan normal, tugas itu dipikul secara automatik oleh ECU.

Boleh ke penunggang terasa fungsi ‘down shift’? Ya, memang boleh dirasai… Soal tahan ke tak? Itu kami sukar nak jawab sebab dapat cuba pun dalam masa terbatas… kita tunggu peluang seterusnya…