Boon Siew Honda pada hari ini rasmi melancarkan model moped Honda RS150R 2022 terbaharu, yang kini tampil dengan warna dan jalur grafik baharu. Di samping itu, model berkenaan kini dilengkapi enjin yang patuh piawaian Euro 4, dan turut dilengkapi sistem ekzos (muffler) serba baharu yang menjadikan gaya penampilannya kini lebih sporty.
Honda RS150R 2022 kini ditawarkan dengan tiga pilihan warna terbaharu iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue dan Radiate Grey Metallic. Harga jualan yang ditawarkan pula adalah sebanyak RM 8,299.00 (harga jualan asas, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau perbatuan 20,000 km.
Di bahagian sistem penjana kuasa, Honda RS150R 2022 kekal dikuasakan enjin dalam sesaran 149.16cc (penyejuk cecair, empat lejang, DOHC), yang turut dilengkapi sistem suntikan bahan api PGM-Fi dan dipadankan transmisi enam kelajuan. Enjin itu menjana kuasa maksimum 15.82hp @ 9,000rpm, dengan tork maksimum 13.6Nm @ 7,000rpm.
Selain daripada prestasi tunggangan yang mengujakan, Honda RS150R 2022 ini tampil dengan pelbagai ciri-ciri menarik seperti meter kelajuan digital dengan paparan pelbagai maklumat, lampu utama LED untuk penglihatan yang terang dan lebih jelas, dan sistem brek jenis cakera di bahagian roda depan dan belakang untuk keselamatan maksimum.
Dengan pelancaran Honda RS150R 2022, ini bermakna model moped sporty ini masih lagi ditawarkan oleh Boon Siew Honda, sebagai pilihan yang lebih berpatutan jika ianya dibandingkan dengan model Honda RS-X yang dijual dengan harga asas RM 9,550.00. Jadi mana satu pilihan yang dirasakan paling berbaloi di antara kedua-dua model itu?