CFMOTO 250NK LITE akan datang Malaysia dengan harga bawah RM10,000!

Ada satu perkembangan menarik. CFMOTO Malaysia dipercayai akan memperkenalkan satu produk motosikal baru di bawah siri CFLITE.

Cerita ini terdedah disebabkan ada pengedar motosikal tiba-tiba mengumumkan pembukaan tempahan untuk model CFLITE NK250 dan ini iklannya siap dengan anggaran harga badan.

Segmen NK ialah produk motosikal jenis naked bike dari CFMOTO dan CFLITE. Untuk CFLITE 250NK, ada tiga varian ditawarkan ke pasaran dunia.

Ini tiga varian CFLITE 250NK iaitu:

  • 250NK Carburator – jenis karburator dan tiada sistem brek ABS
  • 250NK EFI – jenis suntikan bahan api tapi tiada sistem brek ABS
  • 250NK EFI ABS – jenis suntikan bahan api dan ada sistem brek ABS

Untuk pasaran Malaysia, kami mendapat informasi bahawa varian yang akan masuk adalah jenis CFLITE 250NK EFI ABS.

Sebabnya, motosikal dengan EFI ABS itu memenuhi dua syarat yang perlu ada untuk masuk ke Malaysia iaitu EFI ialah piawaian Euro 4 dan Kerajaan Malaysia sudah mewajibkan semua motosikal baru 150cc ke atas kena ada brek ABS bermula tahun ini.

Informasi diterima juga mengesahkan harga badan untuk CFLITE 250NK EFI ABS ialah bawah RM10,000! Kalau ini gayanya, motosikal kapcai 150cc yang lebih RM10,000 pasti terkesan dengan kedatangan produk CFLITE.

Sebabnya.. pengguna Malaysia akan dapat peluang membeli motosikal kapasiti lebih besar, lebih ciri moden dan sesuai untuk diguna secara harian dalam kawasan bandar dengan harga jauh lebih murah dari beberapa model kapcai popular tanah air.

Apa akan terjadi dengan segmen supermoped selepas ini?