Suzuki GSX-8R 2024 dilancarkan di Malaysia, harga RM 54,800.00

Suzuki Malaysia hari ini rasmi melancarkan model sports terbaharu Suzuki GSX-8R 2024. Harga asasnya ditawarkan sebanyak RM 54,800.00. Model tersebut merupakan kembar kepada model naked Suzuki GSX-8S 2023, yang sebelum ini telah dilancarkan di Malaysia pada tahun lepas.

Suzuki GSX-8R 2024 turut dilengkapi enjin 270 darjah ‘crank parallel twin’ bersesaran 776cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC), dengan padanan sistem transmisi enam kelajuan, Suzuki Clutch Assist System (SCAS) dan Bi-directional Quick Shift System. Enjin bertenaga itu seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 82.9PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 78Nm @ 6,800rpm.

Berbanding GSX-8S yang menggunakan sistem suspensi daripada KYB, GSX-8R didatangkan sistem suspensi daripada Showa untuk kawalan dan pengendalian yang lebih baik. Handlebar pada model sport bike itu juga tampil lebih rendah, untuk posisi tunggangan yang lebih sporty.

Spesifikasi standard lain seperti Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), Suzuki Intelligent Ride System (SIRS), Suzuki Traction Control System (STCS), panel TFT 5.0 inci berwarna, sistem lampu LED, tangki bahan api 14 liter, tayar bersaiz 120/70-17 (depan) dan 180/55-17 (belakang), ketinggian tempat duduk 810 mm, dan berat penuh Suzuki GSX-8R 2024 ini hanyalah 205 kg.