Triumph Motorcycles Malaysia baru-baru ini rasmi melancarkan tiga buah model motosikal naked terbaharu dalam siri Street Triple 765. Ketiga-tiga model tersebut ialah Triumph Street Triple 765 R 2023, Triumph Street Triple 765 RS 2023, dan Triumph Street Triple 765 Moto2™ Edition 2023.
Untuk pasaran Malaysia, Triumph Street Triple 765 Moto2™ Edition 2023 ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 89,900.00 (tidak termasuk insuran, cukai jalan dan pendaftaran). Di bahagian enjin, ianya bersesaran 765cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder) dengan kuasa maksimum 130PS @ 12,000rpm.
Enjin berprestasi itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan Triumph shift assist (up and down). Sistem suspensinya daripada Öhlins jenis boleh laras sepenuhnya, merupakan gabungan di antara fork depan Öhlins NIX30 dan monoshock Öhlins STX40 di bahagian belakang.
Sistem brek pula menggunakan kaliper Brembo Stylema dengan cakera berkembar 310 mm di bahagian roda depan. Triumph Street Triple 765 Moto2™ Edition seterusnya dilengkapi Optimized Cornering ABS and switchable Optimized Cornering Traction Control (with IMU), Front Wheel Lift Control, dan lima mod tunggangan (Rain, Road, Sport, Track and Rider).
Sistem lampu kesemuanya jenis LED, di samping panel instrumen TFT berwarna sepenuhnya yang hadir dalam saiz 5.0 inci. Sebagai sebuah model yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan, versi Moto2™ Edition ini menampilkan beberapa hasil kerja badan gentian karbon (front mudguard, side panels, headlight finisher and belly pan).
Untuk pasaran antarabangsa, ianya ditawarkan dalam jumlah terhad hanya 765 unit bagi setiap warna, iaitu Triumph Racing Yellow dan Crystal White. Namun menurut rakan media tempatan, hanya enam unit sahaja yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia, dan kesemuanya telah pun habis dijual.