Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) pada kelmarin rasmi melancarkan jentera naked terbaharu Kawasaki Z900 2023, untuk pasaran Malaysia. Model berkenaan mempunyai dua pilihan warna iaitu Metallic Spark Black dan Metallic Matte Graphenesteel Grey.
Kedua-dua pilihan warna tersebut mempunyai harga asas yang berbeza, RM 43,900.00 dan RM 44,900.00. Enjinnya bersesaran 948cc (4-Stroke In-Line Four, DOHC, 16 Valve, Liquid Cooled) dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.
Sebagai sebuah model naked berprestasi tinggi, Z900 menghasilkan kuasa maksimum 125PS @ 9,500rpm dan tork 98.6Nm @ 7,700rpm. Model seberat 213 kg itu seterusnya dilengkapi tangki bahan api 17 liter dan sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel.
Melengkapkan lagi model tersebut ialah Riding Modes (Sport, Road, Rain) atau talaan manual Rider, dengan integrasi KTRC (Kawasaki Traction Control) dan Power Modes. Panel instrumen TFT 4.3 inci pula mempunyai teknologi sambungan ke telefon pintar.
Untuk makluman, Kawasaki Z900 2023 untuk pasaran Malaysia ini merupakan model versi pemasangan tempatan atau CKD. Ianya dipasang di kilang Modenas yang terletak di Gurun, Kedah. Oleh itu tidak hairanlah harga yang ditawarkan begitu berpatutan.