Pasaran Vietnam pada tarikh 10hb. Disember 2022 baru-baru ini dengan rasminya telah menerima pelancaran model terbaharu Kawasaki Z650RS 2023. Tampil dengan dua skim pilihan warna iaitu Candy Emerald Green dan Metallic Moondust Gray / Ebony, harga jualan untuk model dengan gaya retro itu adalah sebanyak VND 231,000,000, bersamaan RM 43,298.43 mengikut kadar semasa.
Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada Kawasaki Z650RS ini akan turut dilancarkan oleh Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS). Melihat kepada rekaan dan penampilan keseluruhannya, ciri-ciri yang ditawarkan dan harga jualan yang berpatutan, sudah pasti ianya akan diterima dengan baik oleh peminat motosikal di pasaran tempatan apabila rasmi dilancarkan nanti.
Imbas kembali spesifikasinya, Kawasaki Z650RS dilengkapi enjin bersesaran 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) yang dipadankan transmisi enam kelajuan dengan Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai paras 68PS @ 8,000rpm, dengan tork maksimum 64Nm @ 6,700rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 12 liter.
Melengkapkan lagi spesifikasinya ialah fork depan teleskopik 41 mm, suspensi belakang ‘Horizontal Back-link with preload adjustment’, brek cakera dengan ABS, sistem lampu LED, panel meter digital LCD dan analog, tinggi tempat duduk 820 mm, tayar dengan saiz 120/70-17 (depan) dan 120/70-17 (belakang), dan jarak kelegaan bumi 125 mm. Akhir sekali berat model itu ialah 187 kg (curb mass).