Honda CBR250RR 2023 versi facelift terbaharu dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bermula dari RM 19,075.29

PT. Astra Honda Motor hari ini rasmi melancarkan model Honda CBR250RR 2023 versi facelift terbaharu, yang kini tampil lebih sporty dan gagah. Perubahan utama ialah pada wajah depan, fairing sisi dan cover tangki bahan api, bukan sahaja untuk meningkatkan nilai estetikanya, malah menjadikan jentera sport bike berprestasi itu lebih aerodinamik.

Lebih menarik, enjin 249.7cc (4-Stroke, 8-Valve, Parallel Twin Cylinder) pada jentera itu kini menawarkan kuasa maksimum 42PS @ 13,000rpm (varian SP dan SP QS sahaja), berbanding versi sebelumnya 41PS @ 13,000rpm. Selain itu, ianya turut menerima naik taraf terbaharu berupa fork depan jenis upside-down SFF-BP dan lampu Hazard Lamp.

Untuk pasaran Indonesia, Honda CBR250RR 2023 versi facelift terbaharu didatangkan dalam tiga varian iaitu Standard, SP dan SP QS (Quick Shifter), dengan harga bermula dari Rp. 62,850,000 (RM 19,075.29) sehinggalah ke Rp. 79,800,000 (RM 24,219.70). Di bawah berikut ialah senarai harga penuh yang ditawarkan untuk model berkenaan :

  • CBR250RR – STD Black Freedom : Rp. 62,850,000
  • CBR250RR – STD Mat Gunpowder Black Metallic : Rp. 67,650,000
  • CBR250RR – SP Mystique Blue : Rp. 75,150,000
  • CBR250RR – SP QS Bravery Red Black : Rp. 79,200,000
  • CBR250RR – SP QS Honda Racing Red : Rp. 79,800,000
  • CBR250RR – SP QS Honda Tricolor : Rp. 79,800,000

Di pasaran Malaysia, Honda CBR250RR 2022 ditawarkan dalam dua skim warna yang menarik iaitu Tricolour dan Mat Gunpowder Black Metallic, dengan harga asasnya ialah RM 25,999.00. Buat masa ini belum ada maklumat rasmi bilakah versi facelift terbaharu seperti di pasaran Indonesia ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia oleh BSH.