Kawasaki Ninja 400 2023 terima kemaskini warna baharu di pasaran Eropah, enjin kini bertaraf Euro 5

Sama seperti model naked Kawasaki Z400 2023, model sport bike Kawasaki Ninja 400 2023 turut diperkenalkan untuk pasaran Eropah baru-baru ini. Model tersebut kini tampil dengan dua pilihan warna baharu iaitu Lime Green / Ebony (KRT Edition) dan Metallic Carbon Gray / Metallic Matte Carbon Gray, termasuklah enjin yang kini bertaraf Euro 5.

Enjin bersesaran 399cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) itu kini menghasilkan kuasa maksimum 45PS @ 10,000rpm, dengan tork maksimum 37Nm @ 8,000rpm. Enjin berprestasi itu seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Tangki bahan api maksimumnya pula ialah 14 liter.

Spesifikasi teknikal lain bagaimanapun masih kekal sama dan tiada perubahan baharu. Namun Kawasaki Motor Europe mengatakan tuil klac pada Kawasaki Ninja 400 2023 ini kini 20 peratus lebih ringan untuk operasi yang lebih mudah. Model tersebut juga kekal sebagai sebuah jentera yang memberikan fokus kepada litar dengan ciri perlumbaan.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Kawasaki Ninja 400 2023 termasuklah paparan panel instrumen digital LCD dengan takometer analog, lampu depan dan belakang LED, fork depan jenis teleskopik, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS, tinggi tempat duduk 785 mm, jarak kelegaan bumi 140 mm, serta berat 168 kg (curb mass).