Aprilia SR GT 200 2022 kini dilancarkan di pasaran Malaysia, dua varian, harga asas bermula dari RM 19,900.00

Aprilia Malaysia (Didi Group) hari ini rasmi melancarkan model skuter terbaharu Aprilia SR GT 200 2022, dalam dua pilihan varian Standard dan Sport. Varian Standard tampil dengan pilihan warna Street Grey, Infinity Blue dan Aprilia Black, dengan tempat duduk dan rim berwarna hitam. Varian Sport pula didatangkan pilihan warna Street Gold, Red Raceway dan Iridium Grey, dan tempat duduk dua tona dengan rim berwarna merah.

Aprilia SR GT 200 dilengkapi enjin bersesaran 174cc (single-cylinder, 4-stroke i-get with Start & Stop system, single overhead camshaft, 4 valves, liquid-cooled) dan dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT (Continuously Variable Transmission). Enjin itu bertaraf Euro 5, dan menghasilkan kuasa maksimum 17.43hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 16.5Nm @ 7,000rpm. Kapasiti tangki bahan api yang tersedia ialah 9 liter.

Aprilia SR GT 200 dibangunkan di atas kerangka ‘double cradle, in high-resistance steel tubing’ yang kukuh, dan digandingkan dengan fork depan 33 mm daripada Showa yang menawarkan travel sehingga 122 mm. Penyerap hentak belakang pula jenis berkembar, juga daripada Showa, dengan ciri ‘five-position adjustable pre-load’ dan travel 102 mm. Berdasarkan konfigurasi tersebut, jarak kelegaan bumi minimumnya mencapai 175 mm.

Untuk aspek pemberhentian yang mantap, Aprilia SR GT 200 menggunakan brek depan dan belakang cakera dengan ABS single-channel. Di bahagian roda, ianya didatangkan tayar jenis ‘all-terrain’ dalam saiz 110/80-R14 (depan) dan 130/70-R13 (belakang), yang dikatakan sangat fleksibel dan sesuai untuk semua jenis permukaan jalan raya. Selain itu, skuter Aprilia SR GT 200 ini turut tampil dengan pelbagai ciri-ciri menarik yang lain.

Antaranya termasuklah sistem Start & Stop canggih yang diberi nama RISS (Regulator Inverter Start & Stop System), sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital LCD, ruang seluas 25 liter yang boleh memuatkan topi keledar, port pengecas USB, dan juga sistem sambungan APRILIA MIA (aksesori pilihan). Model dengan berat 148 kg itu juga dikatakan mampu ditunggang sejauh 350 km, dengan hanya setangki penuh bahan api.

Menurut Aprilia, SR GT 200 merupakan model skuter “Urban Adventure” pertama yang dikeluarkan oleh syarikat itu. Ini bermakna ianya sesuai untuk tunggangan sama ada di kawasan bandar atau pun di kawasan luar bandar yang pastinya lebih mencabar. Untuk pasaran Malaysia, Aprilia SR GT 200 (Standard) ditawarkan dengan harga jualan asas RM 19,900.00, manakala varian Sport boleh dimiliki dengan harga asas RM 20,900.00.