Pada dua hari yang lepas, Kawasaki Motors Pvt. Ltd. rasmi melancarkan model sports terbaharu Kawasaki Ninja 300 2022 untuk pasaran India. Berbanding model yang sama iaitu Kawasaki Ninja 300 2022 yang dilancarkan pada Mac 2021, Kawasaki Ninja 300 2022 versi terbaharu ini tampil dengan dua skim warna terbaharu yang lebih menarik.
Dua skim warna terbaharu dengan corak grafik terkini itu ialah Candy Lime Green dan Ebony, manakala skim warna Lime Green atau KRT Edition kekal sama seperti sebelum ini. Harga jualan yang ditawarkan bermula dari Rs. 3,37,000, bersamaan RM 19,193.34 mengikut kadar semasa, naik sedikit daripada harga jualan terdahulu iaitu Rs. 3,18,000.
Di bahagian teknikal, ianya dikuasakan enjin bersesaran 296cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan transmisi enam kelajuan. Enjin bertaraf BS6 itu menawarkan prestasi 39PS @ 11,000rpm, dengan tork setinggi 26.1Nm @ 10,000rpm. Selain itu, ianya turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch, tangki bahan api 17 liter, fork depan teleskopik 37 mm, serta brek cakera depan 290 mm dan belakang 220 mm.
Kawasaki Ninja 300 2022 berdiri di atas tayar depan dan belakang bersaiz 110/70 – 17 dan 140/70 – 17, dan ketinggian tempat duduk bagi model seberat 179 kg (curb mass) itu ialah 780 mm. Untuk pasaran Malaysia, Ninja 300 yang eksklusif untuk pasaran India ini pastinya tidak akan ditawarkan, kerana telah ada pilihan Ninja 250 dan Ninja 400.