Adakah Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun 2023?

Di pasaran tempatan, Suzuki Malaysia baru-baru ini telah melancarkan tiga buah model di bawah 250cc, iaitu Suzuki Raider R150 Fi, Suzuki GSX-R150 dan Suzuki GSX-S150. Selepas ini, syarikat itu dikatakan pula bakal melancarkan lagi dua buah model menarik pada tahun 2023 akan datang, menurut maklumat yang didedahkan oleh Paultan.org.

Dua buah model terbaharu yang disebut-sebut bakal dilancarkan itu ialah Suzuki Gixxer 250 (naked bike) dan Suzuki Gixxer SF250 (sport bike). Kedua-dua model itu dilengkapi enjin yang berkapasiti 249cc (4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve), lengkap dengan sistem penyejukan jenis minyak yang diberi nama SOCS (Suzuki Oil Cooling System).

Enjin satu silinder itu kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 26PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 22.6Nm @ 7,500rpm. Kapasiti penuh tangki bahan api yang melengkapi kedua-dua model itu ialah 12 liter. Dari segi reka bentuk, kedua-dua model tampil sederhana namun tetap sporty.

Sekiranya benar Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250 ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun 2023 akan datang, ianya pastinya memberikan pilihan yang lebih pelbagai kepada peminat Suzuki. Ini kerana walau pun model-model dengan enjin 150cc telah ditawarkan, masih ramai yang mahukan model dengan enjin 250cc.

Cuma daripada segi penerimaan pasaran, belum dapat dipastikan dengan tepat sama ada kedua-duanya mempunyai ‘wow factor’ untuk menarik perhatian pembeli, sama ada melibatkan gaya rekaan, kuasa enjin dan harga. Pada pendapat anda, perlukah Suzuki Malaysia memperkenalkan dua buah model berkenaan untuk pasaran di negara kita?