Yamaha YZF-R3 ABS WGP 60th Anniversary Edition 2022 diperkenalkan di pasaran Jepun, terhad 240 unit

Pada minggu lepas, Yamaha dengan rasminya memperkenalkan model baharu Yamaha YZF-R3 ABS WGP 60th Anniversary Edition 2022, untuk pasaran Jepun. Model tersebut tampil dalam skim warna bersejarah WGP 60th Anniversary Edition, dan hanya tersedia sebanyak 240 unit sahaja. Harga jualannya pula ialah 723,800 Yen (RM 24,664.07).

Selain daripada perubahan warna dan grafik, fork depan dan rim roda berwarna emas, spring suspensi belakang berwarna kuning, dan juga tuil brek dan klac berwarna hitam, Yamaha YZF-R3 ABS WGP 60th Anniversary Edition 2022 untuk pasaran Jepun ini turut dilengkapi lampu signal LED baharu depan dan belakang yang lebih kecil dan sporty.

Di bahagian enjin, ianya hadir dalam sesaran 320cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, in-line, 2-cylinder) dengan gandingan transmisi enam kelajuan. Enjin berprestasi itu menghasilkan kuasa maksimum 42PS @ 10,750rpm, dengan tork puncak 30Nm @ 9,000rpm. Kapasiti penuh tangki petrol untuk model seberat 169 kg ini ialah 14 liter.

Spesifikasi menarik lain yang melengkapi Yamaha YZF-R3 ABS WGP 60th Anniversary Edition 2022 adalah seperti lampu depan dan belakang jenis LED, paparan panel meter digital LCD, sistem brek cakera dengan ABS, tayar depan dan belakang 110/70-17 dan 140/70-17, tinggi tempat duduk 780 mm, dan jarak kelegaan bumi minimum 160 mm.