Honda Air Blade 2022 bakal dilancarkan di pasaran Vietnam dengan enjin baharu 125cc dan 160cc (eSP+ 4-valve)

2021 Honda Air Blade 125cc dan 150cc (Vietnam)

Salah seorang pembaca blog Arena Motosikal dari Vietnam, Phạm Thiện, baru-baru ini telah mengirimkan maklumat mengenai pendaftaran motosikal baharu untuk pasaran Vietnam. Model tersebut ialah skuter Honda Air Blade 2022 serba baharu, yang bakal dilengkapi enjin 125cc dan 160cc, dengan kelengkapan teknologi eSP+ dan 4-valve.

Enjin 125cc (124.8cc) eSP+ dengan teknologi 4-valve itu sebelum ini telah pun kita lihat pada model skuter Honda Lead 125 2022, yang dilancarkan di pasaran Vietnam pada bulan Disember 2021 yang lepas. Enjin 160cc (156.9cc) eSP+ 4-valve pula, sebelum ini telah pun rasmi diperkenalkan melalui model Honda PCX 160 dan Honda Vario 160.

Selain daripada enjin terbaharu yang lebih berprestasi, Honda Air Blade 125 2022 dan Honda Air Blade 160 2022 juga dijangka bakal tampil dengan reka bentuk serba baharu, yang pastinya lebih sporty dan elegan berbanding model semasa Honda Air Blade 2021 seperti imej di atas. Namun tarikh pelancaran kedua-duanya setakat ini belum diketahui.

Di pasaran Malaysia, generasi terawal Honda Air Blade pernah dilancarkan oleh Boon Siew Honda pada tahun 2013, namun model itu kurang mendapat sambutan. Generasi seterusnya Honda Air Blade kemudiannya tidak lagi ditawarkan untuk pasaran tempatan sehingga kini. Adakah selepas ini Honda Air Blade 2022 bakal kembali ke Malaysia?

Galeri : dokumen pendaftaran Honda Air Blade 2022 di Vietnam