Honda Sonic 150R adakah akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia, untuk menentang Suzuki Raider R150 Fi?

Salah sebuah model moped keluaran Honda yang boleh dikatakan agak kurang popular dan jarang diperkatakan ialah Honda Sonic 150R. Berdasarkan carian melalui internet, model berkenaan ketika ini hanya ditawarkan di pasaran Indonesia sahaja. Malah ianya merupakan versi tahun 2019, yang sehingga kini belum menerima kemaskini baharu.

Setakat ini tidak pasti sampai bilakah Honda Sonic 150R akan terus berada di pasaran Indonesia, memandangkan model-model skuter kini menjadi pilihan terbesar bagi rakyat di negara jiran itu. Tidak mustahil dan juga tidak mengejutkan sekiranya tiba-tiba sahaja pengeluaran Honda Sonic 150R di pasaran Indonesia ditamatkan dalam masa terdekat.

Namun begitu, mungkin juga jangka hayat Honda Sonic 150R masih panjang, sekiranya ianya bakal dilancarkan di pasaran baharu, di sebuah negara yang masih kental dengan pelbagai model-model dalam segmen moped, tidak lain dan tidak bukan ialah Malaysia. Persoalannya ialah adakah Honda Sonic 150R akan dibawa masuk ke pasaran negara kita oleh Boon Siew Honda, bagi menentang model popular Suzuki Raider R150 Fi?

Buat masa ini, tiada sebarang maklumat mengenai kemungkinan tersebut. Malah pihak Boon Siew Honda juga mungkin tidak terfikir untuk melancarkan Honda Sonic 150R ke pasaran Malaysia, memandangkan mereka kini telah pun mempunyai dua buah model 150cc yang telah medapat sambutan hangat iaitu Honda RS150R dan Honda RS-X.

Jadi harapan untuk melihat kehadiran Honda Sonic 150R tiba di pasaran Malaysia agar ianya memberikan cabaran terhadap model Suzuki Raider R150 Fi, nampaknya sangat tipis. Tambahan pula Honda Sonic 150R tidak mempunyai kelebihan seperti mana yang dimiliki oleh Suzuki Raider R150 Fi, iaitu tahap kelajuan maksimum yang cukup tinggi.

Selain itu tanpa perlu membuat survey, Boon Siew Honda pastinya tahu bahawa ramai peminat motosikal moped di pasaran Malaysia tidak pernah membuat permintaan agar model itu di bawa masuk ke pasaran tempatan. Situasi Honda Sonic 150R tidak sama seperti mana situasi Honda Winner X sebelum ini, yang sekian lama ditunggu-tunggu.