Pada bulan November 2021 yang lepas, model skuter versi adventure terbaharu Honda ADV350 2022 dengan rasminya diperkenalkan di pasaran Eropah. Pada hari ini, model berkenaan dilancarkan pula di pasaran Thailand, dalam dua pilihan varian Standard dan RoadSync Type. Tiga pilihan warna yang ditawarkan ialah Perak, Hitam dan Merah.
Honda ADV350 untuk pasaran Thailand boleh dimiliki dengan harga jualan bermula dari 181,900 THB (RM 22,905.54) untuk varian Standard, manakala varian RoadSync Type yang dilengkapi HSVCs (Honda Smartphone Voice Control system) ditawarkan dengan harga jualan sebanyak 183,900 THB, iaitu RM 23,157.39 berdasarkan kadar semasa.
Selain daripada tampil dengan ‘adventure design’ yang sporty dan ‘semi off road wheel’ yang membolehkannya meredah jalanan kasar, Honda ADV350 turut dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik lain. Antaranya seperti sistem kunci dan kawalan pintar Honda, panel meter LCD sepenuhnya, sistem lampu LED, skrin penghadang angin boleh laras, konsol depan dengan port pengecas USB, dan ruang di bawah tempat duduk 48 liter.
Selain itu, ianya juga dilengkapi fork depan upside-down, suspensi belakang berkembar dengan subtank, tangki bahan api maksimum 11.7 liter, sistem brek cakera dengan ABS 2-Channel dan juga lampu kecemasan ESS (Emergency Stop Signal). Tayar depan dan belakangnya pula masing-masing tampil dalam ukuran 120/70-R15 dan 140/70-R14.
Di bahagian penjana kuasa, Honda ADV350 dilengkapi enjin bersesaran 330cc (Liquid-cooled, 4-stroke, 4-valve, SOHC) dan digandingkan dengan sistem transmisi automatik CVT. Enjin eSP+ yang cekap dan patuh piawaian emisi Euro 5 itu menghasilkan kuasa maksimum 28.83hp @ 7,500rpm, dengan tork puncak setinggi 31.5Nm @ 5,250rpm.
Dengan pelancaran Honda ADV350 2022 di pasaran Thailand itu, bermakna ianya juga bakal dilancarkan di pasaran Malaysia selepas ini. Namun untuk pasaran negara kita, versi yang akan ditawarkan nanti dijangka akan dilengkapi enjin bersesaran 250cc, dan ianya mungkin akan dikenali sebagai Honda ADV250. Sama-sama kita nantikannya.