Aveta V-13R 2021 dilengkapi enjin 127cc, kotak gear empat kelajuan tanpa klac tangan dan port pengecas USB

Baru-baru ini penulis sempat singgah di sebuah kedai motosikal yang merupakan wakil pengedar motosikal keluaran Aveta Global Marketing Sdn. Bhd., untuk melihat dengan lebih dekat model terbaharu yang dilancarkan iaitu Aveta V-13R 2021. Pada masa yang sama penulis juga cuba mendapatkan brosur rasmi model tersebut sebagai rujukan.

Bagaimanapun menurut wakli penjual yang ditemui, sehingga kini mereka masih belum dibekalkan brosur berkenaan. Antara sebab kenapa penulis mahu mendapatkan brosur itu ialah untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat mengenai kapasiti enjin Aveta V-13R, kerana timbul kekeliruan sama ada ianya dilengkapi enjin 125cc atau pun 130cc.

Maklumat mengenai spesifikasi enjin Aveta V-13R juga tidak dinyatakan secara rasmi di dalam laman Facebook Aveta, manakala laman sesawang https://www.aveta.com.my/ pula sejak beberapa bulan yang lepas masih di dalam mod penyelenggaraan. Oleh itu tiada sumber rujukan sahih untuk menentukan kapasiti enjin model moped berkenaan.

Namun begitu akhirnya penulis telah berjaya mendapatkan maklumat yang dimahukan, melalui sumber daripada pihak media Aveta sendiri. Berdasarkan maklumat rasmi yang diperolehi itu, Aveta V-13R dikuasakan enjin bersesaran 127cc. Jumlah keluaran kuasa dan tork pula tidak dinyatakan, namun tentunya mencukupi untuk model sepertinya.

Enjin empat lejang dengan sistem penyejukan udara itu kemudiannya dipadankan kotak gear empat kelajuan, tanpa klac tangan. Di bahagian atas enjinnya terdapat jaring palsu yang merupakan sekadar kosmetik, untuk memperlihatkan seolah-olah ianya dilengkapi dengan sistem penyejukan jenis cecair, sama seperti model popular Yamaha 135LC.

Bagaimanapun Aveta V-13R tetap tidak kalah jika dibandingkan dengan model-model lain yang sekelas dengannya, apabila dilengkapi beberapa ciri-ciri menarik seperti port pengecas USB untuk mengecas telefon bimbit, sistem lampu LED dengan lampu depan Daytime Running Light (DRL), dan juga brek cakera depan dengan kaliper dual piston.

Aveta V-13R 2021 seterusnya ditawarkan dengan harga jualan asas RM 6,688.00, dan ianya sedikit sebanyak telah mencetuskan kontroversi di kalangan peminat motosikal tempatan. Namun begitu menurut wakil penjual yang ditemui, harga jualan sebenarnya berada di bawah paras RM 6k, melalui promosi istimewa bergantung kepada pengedar.