Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) hari ini rasmi melancarkan model skuter maxi terbaharu Yamaha TMAX 560 2021 untuk pasaran tempatan. Model berkenaan hadir dengan dua pilihan warna menarik iaitu Tech Kamo dan Power Grey. Harga asasnya ialah RM 72,288.00, dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perbatuan.
Yamaha TMAX 560 dilengkapi enjin bersesaran 562cc (4-valves, DOHC, 4-stroke, Liquid-cooled, Parallel twin-cylinder) bertaraf Euro 5, dan dipadankan sistem transmisi automatik V-Belt. Enjin berprestasi itu menghasilkan kuasa maksimum 47.6PS (35kW) @ 7,500rpm dengan tork puncak 55.7Nm @ 5,250rpm, untuk pecutan pantas dan berkelajuan tinggi.
Model skuter maxi sporty itu seterusnya hadir dengan ciri-ciri seperti fork depan USD 41 mm, brek depan cakera berkembar dan brek belakang tunggal dengan ABS, Traction Control System, sistem D-Mode dengan dua pilihan, sistem kunci pintar Keyless, ruang barangan yang luas, sistem lampu LED dan tangki bahan api dengan kapasiti 15 liter.
Yamaha TMAX 560 turut dilengkapi panel instrumen TFT monotone dengan pelbagai info. Lebih menarik lagi ianya turut didatangkan dengan sistem cruise control, skrin boleh laras elektronik, serta cengkaman dan tempat duduk dengan ciri pemanas. Ketinggian tempat duduk model tersebut hanya 800 mm, dengan berat keseluruhannya 220 kg (wet weight).
Bagi setiap pembelian Yamaha TMAX 560 2021, pelanggan akan turut menerima Yamaha Big Bike Key Pouch secara eksklusif, yang boleh diukir secara percuma di mana-mana cawangan Royal Selangor. Seperti kebiasaannya, pelanggan juga diberikan kunci cakera Yamaha secara percuma. Untuk tempahan, anda boleh kunjungi pengedar berdekatan.