Kawasaki Motor Europe baru-baru ini dengan rasminya memperkenalkan sebuah model motosikal terbaharu dalam segmen retro moden iaitu Kawasaki Z650RS 2022. Dengan menggunakan tagline ‘Retrovolution’, Z650RS sememangnya tampil dengan gaya klasik yang kental, dan mengingatkan kita kembali kepada model Z650-B1 pada era 1970an.
Kawasaki Z650RS dilengkapi enjin 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) bertaraf Euro 5, dipadankan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch, dan menghasilkan 68PS @ 8,000rpm dengan tork 64Nm @ 6,700rpm. Enjin berkenaan adalah sama seperti mana enjin pada model Kawasaki Z650 dan Kawasaki Ninja 650.
Spesifikasi lain yang melengkapi Kawasaki Z650RS termasuklah kerangka jenis Trellis yang ringan, tangki bahan api 12 liter, fork depan teleskopik 41 mm, suspensi belakang tunggal (Horizontal Back-link with preload adjustment), dan brek cakera depan 300 mm jenis berkembar dengan cakera belakang 220 mm, dan kedua-duanya dilengkapi ABS.
Di bahagian roda, model tersebut tampil bergaya dengan rim berwarna emas bagaikan rim berjejari, dengan balutan sepasang tayar dalam siri 120/70-ZR17 dan 160/60-ZR17. Mempunyai gaya tunggangan yang selesa dan santai, ketinggian tempat duduk berada pada paras 820 mm, jarak kelegaan bumi 125 mm, dengan berat 187 kg (curb mass).
Kawasaki Z650RS seterusnya dilengkapi lampu depan LED jenis bulat, sepasang panel meter bergaya analog yang juga tampil dengan gaya rekaan bulat bersama-sama panel meter digital LCD pelbagai info ditengahnya, dan tiga skim pilihan warna yang menarik iaitu Candy Emerald Green, Metallic Moondust Gray / Ebony dan Metallic Spark Black.
Untuk pasaran UK, Kawasaki Z650RS 2022 ditawarkan pada harga jualan dari £ 7,549, bersamaan RM 42,552.74 untuk model berwarna Metallic Spark Black. Bagi dua pilihan warna Candy Emerald Green dan Metallic Moondust Gray / Ebony pula, kedua-duanya boleh dimiliki dengan harga jualan sebanyak £ 7,649, iaitu bersamaan RM 43,116.43.