Suzuki GSX-S950 2021 diperkenalkan di pasaran Eropah, sesuai untuk pemegang lesen kelas A2

Dalam bulan April yang lepas, Suzuki secara rasminya memperkenalkan model naked berkuasa tinggi terbaharu Suzuki GSX-S1000 2021 untuk pasaran Eropah. Dikuasakan enjin bersesaran 999cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC), ianya menawarkan kuasa maksimum 152PS @ 11,000rpm dengan tork maksimum 106Nm 9,250rpm.

Harga yang ditawarkan mencapai £10,999 (RM 63,526.12), menjadikannya salah satu model yang bertaraf premium. Oleh itu bagi meluaskan lagi pasaran model tersebut, di samping agar ianya bersesuaian dengan pemegang lesen kelas A2 di pasaran Eropah, Suzuki kini memperkenalkan pula versi lebih mampu milik iaitu Suzuki GSX-S950 2021.

Suzuki GSX-S950 masih dikuasakan enjin 999cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) yang sama, dengan padanan transmisi enam kelajuan. Namun jumlah keluaran kuasanya kini lebih rendah, berada pada paras 95PS @ 7,800rpm dengan tork puncak 92Nm @ 9,500rpm. Enjin tersebut juga tersedia kit untuk merendahkan lagi kuasanya.

Ini bermakna bagi melayakkan pemegang lesen kelas A2 menunggang model tersebut, enjinnya boleh ditala kepada paras kuasa 35kW (47.5PS). Apabila pemilik motosikal itu telah mendapat lesen penuh, enjin tersebut boleh ditala semula kepada jumlah kuasa yang sedia ada, tanpa perlu pemiliknya membeli motosikal baharu yang lebih berkuasa.

Menurut Suzuki, GSX-S950 terbaharu itu akan berada di pasaran Eropah mulai bulan Ogos akan datang. Harga yang ditawarkan bakal lebih rendah, namun setakat ini ianya masih belum diumumkan. Namun oleh kerana ianya kini lebih mampu milik, sudah pasti terdapat beberapa perbezaan spesifikasi berbanding model Suzuki GSX-S1000 2021.

Suzuki GSX-S950 hanya dilengkapi fork depan upside-down KYB tanpa ciri boleh laras, yang mana pada model GSX-S1000, ianya memiliki fork depan upside-down berwarna emas dengan ciri boleh laras sepenuhnya. Perubahan lain melibatkan sistem brek, yang kini menggunakan kaliper brek depan Tokico, berbanding sistem brek daripada Brembo.

Untuk pasaran Eropah, Suzuki GSX-S950 2021 boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang menarik seperti Metallic Triton Blue, Pearl Brilliant White dan Metallic Matt Black. Mungkin untuk pasaran Malaysia, sepatutnya penunggang motosikal turut ditawarkan kelas lesen berdasarkan jumlah keluaran kuasa enjin, seperti mana di pasaran Eropah.