Model skuter yang ditunggu-tunggu SYM Jet X 150 2021 sebelum ini telah dipamerkan kepada pihak media pada tarikh 20hb. April 2021 yang lalu, namun tanpa pengumuman harga dan tarikh ketibaannya di wakil pengedar. Akhirnya hari ini model tersebut telah diumumkan bakal dilancarkan secara rasmi pada tarikh 18hb. Mei 2021 akan datang.
Menurut pengedarnya MForce Bike Holdings Sdn. Bhd., majlis pelancaran SYM Jet X 150 2021 akan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook dan YouTube milik syarikat tersebut, bermula pada jam 8.00 malam. Harga jualannya dan tarikh stok akan berada di pasaran bakal didedahkan secara rasmi pada malam pelancaran tersebut.
SYM Jet X 150 2021 merupakan sebuah model skuter terbaharu yang dikuasakan enjin bersesaran 149.6cc (4-stroke, single-cylinder, SOHC, 2-valve, liquid-cooled), dengan keluaran kuasa maksimumnya mencapai 12.33hp @ 8,000rpm dan tork puncak 12Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik CVT.
Menurut MForce, jangkaan harga untuk SYM Jet X 150 dikatakan tidak akan melebihi RM 10k. Apabila dilancarkan nanti, ianya bakal bersaing dengan model-model skuter lain sekelas dengannya seperti Honda ADV150, Yamaha NMAX 155 dan Yamaha NVX 2021. Untuk maklumat lengkap, sama-sama kita tunggu pelancarannya tidak lama lagi.