Seperti mana yang telah disebutkan sebelum ini, pihak kerajaan telah memperkenalkan pengecualian duti eksais 100 peratus untuk motosikal versi pemasangan tempatan atau CKD dengan enjin di bawah 150cc, bagi tempoh 01hb. April sehingga 31hb. Disember 2021. Pengecualian cukai itu diperkenalkan kerajaan di bawah insentif PEMERKASA.
Setakat ini tidak begitu jelas berapakah pengurangan harga bagi setiap model motosikal 150cc yang dijual di pasaran Malaysia, memandangkan belum ada pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar motosikal tempatan. Bagaimanapun mungkin maklumat yang dikongsikan oleh laman blog Careta.my ini mempunyai jawapannya.
Berdasarkan maklumat yang disiarkan di dalam paparan di atas, pengurangan selepas pengecualian duti eksais berada dalam lingkungan RM 376.29 sehingga RM 1,506.67, untuk model-model keluaran Yamaha, Honda dan SM Sport. Namun apa yang peliknya ialah harga untuk dua model keluaran SYM didapati telah mengalami peningkatan.
Senarai harga baru ini juga masih belum lengkap sepenuhnya, kerana harga model-model motosikal keluaran Modenas dan beberapa jenama yang lain belum dimasukkan. Adalah lebih baik sekiranya semua pengeluar motosikal tempatan membuat hebahan atau pengumuman secara rasmi harga baharu untuk model-model motosikal mereka.
Berbalik kepada senarai harga baru di atas, harga untuk model Honda ADV150 2021 merupakan yang paling banyak mengalami pengurangan harga, sehingga RM 1,506.67 berbanding harga asas yang asal sebanyak RM 11,999.00. Namun perlu diingat, harga di sini pastinya berlainan dengan harga yang ditetapkan sendiri oleh wakil penjual.