India Yamaha Motor Pvt. Ltd. pada kelmarin telah memperkenalkan Yamaha YZF-R15 2021 untuk pasaran India, yang kini didatangkan pilihan warna terbaharu Metallic Red bersama-sama tiga pilihan warna terdahulu Racing Blue, Thunder Grey dan Darknight.
Yamaha YZF-R15 dalam pilihan warna baharu Metallic Red itu ditawarkan pada harga jualan sebanyak 152,000 Rupee, bersamaan RM 8,583.33 mengikut kadar mata wang semasa. Bagi warna Racing Blue, Thunder Grey dan Darknight, harga yang ditawarkan masing-masing ialah sebanyak 153,200 Rupee, 152,100 Rupee dan 154,200 Rupee.
Yamaha YZF-R15 di pasaran India dilengkapi enjin bertaraf BS6 yang lebih bersih dan mesra alam sekitar. Enjin bersesaran 155cc (Liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve, VVA) itu dipadankan transmisi enam kelajuan dan juga sistem Assist & Slipper Clutch, dengan kuasa maksimum 18.6PS @ 10,000rpm dan tork puncak 14.1Nm @ 8,500rpm.
Spesifikasi lain yang melengkapi model sport bike tersebut termasuklah tangki bahan api 11 liter, kerangka deltabox, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek dengan dual-channel ABS, panel meter digital, lampu depan dan belakang LED, tayar depan 100/80-17, tayar belakang 140/70R17 dan berat basah 142 kg.
Selain itu ianya juga dilengkapi ciri keselamatan tambahan berupa ‘Side Stand Engine Cut-off Switch’ yang menghalang enjin daripada dihidupkan sehingga tongkat motosikal diangkat sepenuhnya. Untuk pasaran Malaysia, Yamaha YZF-R15 2020 diperkenalkan dalam pilihan warna Race Blu dan Black, dengan harga asas sebanyak RM 11,988.00.