Suzuki RG Sports 2002 versi NOS buatan Malaysia, untuk dijual di pasaran Vietnam pada harga hampir RM 140k

Dalam bulan Ogos 2020 yang lepas, pengumpul motosikal tegar Cuong Nguyen dari Vietnam telah membuat kejutan apabila membeli sebuah model Yamaha 125ZR Go Edition (Yamaha 125ZR M1 Special Edition) keluaran tahun 2003. Model itu dibeli dari seorang pemilik asal di Malaysia, pada harga tunai mencecah RM 85,000.00.

Melihat kepada status kemaskini Cuong di dalam laman Facebooknya selama ini, duit bukanlah suatu masalah besar baginya. Dengan minat yang ada terhadap model-model motosikal moped lama bertaraf NOS, Cuong kini memiliki koleksi beberapa buah model motosikal Yamaha 125ZR, Honda EX5 Dream dan model-model keluaran Suzuki.

Suzuki RG Sports 2002 merupakan salah satu koleksi yang ada pada beliau ketika ini. Model tersebut dikatakan buatan Malaysia dan telah diimport ke pasaran Vietnam, dan kemudiannya telah menjadi milik Cuong sehingga kini. Dengan melihat kepada tahun pengeluarannya, bermakna usia Suzuki RG Sports itu kini telah mencapai 19 tahun.

Menurut Cuong, Suzuki RG Sports itu tidak pernah diisi minyak petrol dan tidak pernah ditunggang. Ianya kekal sebagai koleksi sebuah model bertaraf NOS dan masih dalam keadaan yang asal. Enjin dua lejangnya bersesaran 110cc, dengan sistem penyejukan udara dan transmisi lima kelajuan, pernah terkenal di Malaysia suatu ketika dahulu.

Menariknya menurut Cuong melalui kemaskini status di dalam laman Facebooknya baru-baru ini, Suzuki RG Sports 2002 itu kini dibuka untuk jualan, pada harga luar biasa hampir 800 juta VND. Harga tersebut bersamaan sekitar RM 140k, sangat tinggi dan pastinya hanya peminat tegar sahaja yang tahu menilai dan menghargai motosikal itu.

Di pasaran Malaysia, setakat ini boleh dikatakan tidak ada model Suzuki RG Sports bertaraf NOS yang masih ada dalam simpanan mana-mana pemilik. Jika ada, harganya sudah tentu akan mencapai angka yang begitu tinggi, apabila ditawarkan di pasaran Vietnam. Mereka membelinya kerana minat dan juga mampu dari segi kewangan.

Sumber : Cuong Nguyen FB & Motosaigon.vn