Yamaha TMAX generasi pertama kini telah berusia 20 tahun

Skuter maxi Yamaha TMAX pastinya sangat dikenali oleh ramai peminatnya di seluruh dunia, kerana reka bentuknya yang sporty dan enjinnya yang berkuasa. Namun tahukah anda Yamaha TMAX generasi pertama kini telah pun berusia 20 tahun?

Yamaha TMAX generasi pertama buat pertama kalinya diperkenalkan untuk pasaran Eropah pada bulan Julai 2000 (sumber dari Wikipedia), sebelum dijual secara rasmi bermula tahun 2001. Kini pada tahun 2021, genaplah 20 tahun usia model tersebut.

Untuk anda yang tertanya-tanya bagaimanakah reka bentuk sebenar Yamaha TMAX generasi pertama, anda boleh saksikannya dalam galeri di bawah. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 499cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, parallel-twin), dengan kuasa maksimum 39.4hp @ 7,000rpm dan tork maksimum 45.8Nm @ 5,500rpm.

Sistem transmisinya ialah V-Belt Automatic CVT. Sistem brek cakera melengkapkan ciri keselamatan skuter maxi berprestasi tinggi ini, manakala fork depan teleskopik dan monoshock dengan swingarm menawarkan pengendalian pada tahap tertinggi.

Yamaha TMAX 2001 dilengkapi tangki bahan api 14 liter, ketinggian tempat duduk 795 mm dan beratnya ialah 217 kg. Setakat ini penampilan keseluruhan Yamaha TMAX ini masih kelihatan moden dan canggih, walaupun usianya telah menjangkau 20 tahun.