Model BMW R 18 yang diperkenalkan pada tahun lepas sememangnya mempunyai kelebihan yang tersendiri, apabila ianya mudah untuk diubahsuai kepada model lain yang lebih sensasi, unik dan luar biasa. Sebelum ini ianya direka bentuk semula oleh Roland Sands dan Bernhard Naumann, dan kini tiba pula giliran Dirk Oehlerking.
Dirk Oehlerking daripada Kingston Custom telah menjelmakan BMW R 18 kepada model baharu dengan perwatakan yang sangat mengujakan, dikenali sebagai BMW R 18 “Spirit of Passion”. Walau pun sebelum ini Oehlerking lebih dikenali dengan rekaan custom yang ekstrem, namun pasti ramai yang akan terkejut dengan hasil kerjanya ini.
Ini kerana menurut Oehlerking, beliau langsung tidak menyentuh bahagian kerangka BMW R 18 sepanjang proses pengubahsuaian dilakukan, yang dikatakan telah sedia sempurna dan sofistikated. Jadi tiada keperluan lagi untuk beliau melakukan sebarang perubahan, melainkan membiarkan ianya dalam keadaan yang asal 100 peratus.
Bagaimanapun BMW R 18 itu tetap mengalami transformasi luar biasa dengan cabaran yang hebat, melibatkan bahagian fairing depannya yang dibangunkan secara buatan tangan, begitu juga dengan handlebar dan mudguardnya. Ekzos BMW R 18 diubahsuai dengan gaya Kingston Roadster, di samping beberapa perincian dan kemaskini lain.
BMW R 18 dilancarkan dengan enjin “Big Boxer” dua silinder yang berkuasa, dengan kapasiti enjinnya mencapai angka 1,802cc. Kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sebanyak 91hp @ 4,750rpm dengan tork maksimum 158Nm @ 3,000rpm. Menurut BMW, lebih daripada 150Nm tork sentiasa tersedia bermula dari 2,000 ke 4,000rpm.
Pada tarikh 09hb. Oktober 2020 yang lepas, BMW Motorrad Malaysia secara rasminya telah melancarkan model BMW R 18 First Edition 2020, dalam jumlah terhad 18 unit sahaja. Model yang tampil dengan gaya rekaan dan teknikal yang diilhamkan daripada model legenda BMW R 5 itu ditawarkan pada harga asas sebanyak RM 149,500.00.