Lifan Cub-ADV 125 merupakan jentera kapcai off-road, bersedia untuk aktiviti penjelajahan

Sementara kita semua menantikan pelancaran skuter Honda ADV150 pada tarikh 05hb. Februari 2021, apa kata kita lihat dahulu sebuah lagi model ADV yang diperkenalkan oleh Lifan Motorcycle. Dikenali dengan nama Lifan Cub-ADV 125, ianya merupakan gabungan di antara jentera dalam segmen off-road dengan sebuah motosikal kapcai.

Lifan Cub-ADV 125 ini dilengkapi enjin bersesaran 119.7cc (single-cylinder, air-cooled, four-stroke) dengan transmisi empat kelajuan dan menggunakan klac jenis automatik. Janaan kuasa maksimum mencapai 8.0hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 8.5Nm @ 5,000rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh sehingga 3.7 liter.

Menurut Lifan, model kapcai kembara Cub-ADV 125 ini mempunyai kuasa enjin yang kuat dan stabil, serta cekap penggunaan bahan api. Ianya juga dilengkapi lampu depan dan belakang LED, meter kelajuan digital LCD, sistem suspensi depan dan belakang dengan tahap keselesaan maksimum, sepasang tayar bercirikan off-road, di samping brek cakera dan dram yang menawarkan prestasi maksimum di jalan yang mencabar.

Lifan Cub-ADV 125 mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 780 mm, manakala beratnya berada pada angka 105 kg (net weight). Melihat kepada penampilan uniknya yang tersendiri dan kelihatan gagah, model ini sangat sesuai untuk mereka yang suka menjelajah terutamanya di laluan jalan yang tidak berturap dan di kawasan berbukit.