Model skuter maxi terbaharu SYM Maxsym TL500 2020 akan berada di pasaran Malaysia secara rasmi mulai penghujung bulan Disember 2020. Bagaimanapun untuk model tahun 2021, SYM telah menaiktaraf model tersebut dengan beberapa ciri yang lebih menarik, dan ianya kini dikenali dengan nama SYM Maxsym TL508 2021.
SYM Maxsym TL508 kini dilengkapi enjin 508cc (In-line twin cylinder, 8V, DOHC, liquid-cooled) bertaraf Euro 5, dengan kuasa maksimum 45.5PS (33.5kW) @ 6,750rpm dan tork maksimum 49.9Nm @ 5,250rpm. Menurut SYM, peningkatan jumlah sesaran enjin dan prestasi itu dilakukan bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggannya.
Selain itu berbanding SYM Maxsym TL500, naiktaraf yang dilakukan terhadap SYM Maxsym TL508 juga menyaksikannya kini dilengkapi Keyless System, antara ciri yang memberikan lebih kemudahan kepada pengguna. Selain itu Quick Charge 2.0 kini digantikan dengan Quick Charge 3.0 untuk pengecasan peranti yang lebih pantas.
Spesifikasi lain yang melengkapi SYM Maxsym TL508 2021 ialah transmisi CVT, fork depan upside-down, suspensi belakang monoshock ‘single-sided with Multi-link’, brek cakera depan dan belakang berdiameter 275 mm dengan ABS dua saluran, tayar depan 120/70-15, tayar belakang 160/60-15, dan kapasiti tangki bahan api 12.5 liter.
SYM Maxsym TL508 seterusnya didatangkan panel instrumen digital, sistem lampu LED, ketinggian tempat duduk 795 mm dan mempunyai jarak roda 1,543 mm. Dengan enjin yang lebih berkuasa dan kini dilengkapi sistem kunci Keyless yang memberi lebih kemudahan, pastinya amat dialu-alukan oleh pengguna dan juga peminat SYM.