Yamaha MT-125 2021 diperkenalkan di pasaran Eropah, warna baharu, enjin 125cc Euro 5

Eksklusif untuk pasaran Eropah, Yamaha MT-125 2021 secara rasminya diperkenalkan pada pertengahan bulan November 2020 baru-baru ini. Reka bentuk model berkenaan masih sama seperti model tahun 2020, namun ianya kini didatangkan tiga skim warna baharu yang lebih segar, di samping enjin yang kini mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Yamaha MT-125 2021 kekal dikuasakan enjin bersesaran 125cc (Liquid-cooled, SOHC, Single cylinder, 4-stroke) VVA, yang kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin kompak yang berprestasi itu menghasilkan kuasa maksimum 15PS @ 10,000rpm dengan tork maksimum 11.5 Nm @ 8,000rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Yamaha MT-125 2021 ini termasuklah rangka Deltabox yang sporty dengan lengan ayun aluminium, rekaan badan yang moden dan agresif, panel meter LCD negatif yang sofistikated, lampu depan LED yang sporty dan bergaya, fork depan USD 41 mm, brek depan dengan radial-mount caliper dan cakera 292 mm yang berprestasi tinggi, serta turut dilengkapi tayar belakang yang lebar.

Untuk pasaran Eropah, Yamaha MT-125 2021 didatangkan dalam tiga pilihan warna baharu iaitu Steel Fluo, Icon Blue dan Tech Black. Ketiga-tiga skim warna tersebut mirip dengan skim warna yang diperkenalkan untuk model Yamaha MT-09 2021 dan Yamaha MT-07 2021, yang dilancarkan untuk pasaran Eropah, Jepun dan USA baru-baru ini.