Pasaran negara jiran Thailand baru-baru ini telah menerima kehadiran model skuter Honda ADV150 2020 terbaharu, yang kini tampil dengan empat pilihan warna yang lebih menarik dan segar iaitu Mat Gunpowder Black Metallic (BLK), Pearl Himalayas White (W-S), Sword Silver Metallic (SLV) dan Candy Rosy Red (R-B).
Harga yang ditawarkan adalah sebanyak THB 98,900, bersamaan nilai RM 13,513.28 mengikut kadar tukaran semasa. Honda ADV150 dikuasakan enjin eSP bersesaran 149.32cc dengan teknologi suntikan bahan api PGM-FI, menawarkan kuasa dan prestasi yang memuaskan di samping penggunaan bahan api yang ekonomi.
Model tersebut turut dilengkapi handle bar yang tirus, suspensi belakang dengan twin subtank daripada Showa, sistem brek cakera dengan ABS, panel meter digital sepenuhnya, sistem lampu LED dengan lampu DRL (Daytime Running Light) dan ESS (Emergency Stop Signal), pengecas telefon bimbit dan sistem kunci Honda Smart Key.
Setakat ini untuk pasaran Malaysia, dikhabarkan Honda ADV150 akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan. Apabila berada di pasaran tempatan nanti, model skuter yang sporty dan mempunyai penampilan gagah ini pastinya akan berjaya menarik perhatian ramai pembeli yang telah lama menantikan ketibaannya.