Yamaha 125ZR di pasaran Vietnam dijual pada harga bersamaan RM 176k

Model moped dua lejang Yamaha 125ZR sememangnya mempunyai nilai pasaran yang tinggi, terutamanya bagi model-model yang bertaraf New Old Stock (NOS). Misalnya di pasaran Malaysia, Yamaha 125ZR Go Edition (Yamaha 125ZR M1 Special Edition) keluaran tahun 2003, telah berjaya dijual dengan harga tunai sebanyak RM 85,000.00.

Bagaimanapun di pasaran Vietnam baru-baru ini, sebuah model Yamaha 125ZR versi terpakai dengan nombor plat istimewa telah diiklankan di dalam laman Facebook untuk dijual, pada harga 1 bilion VND, bersamaan RM 176,341.60 mengikut kadar semasa. Harga tersebut sudah mencukupi untuk kita semua memiliki sebuah Honda CR-V.

Menurut sumber dari Vietnam, harga Yamaha 125ZR di pasaran negara tersebut tanpa nombor plat istimewa, kebiasaannya dalam lingkungan 350 sehingga 400 juta VND, iaitu bersamaan nilai RM 61k sehingga RM 70k. Bersama-sama nombor plat istimewa dan bertuah, tidak hairanlah harganya melonjak sehingga ke paras 1 bilion VND.

Sama seperti di pasaran Malaysia, komuniti permotoran di negara Vietnam juga tidak bersetuju dengan nilak harga berkenaan yang dikatakan terlalu tinggi, malah lebih tinggi jika dibandingkan dengan harga kereta. Di pasaran Malaysia baru-baru ini pula, sebuah Yamaha 125ZR berwarna kuning telah berjaya dijual pada harga sebanyak RM 25k.

Sumber : Techz.vn