Honda X-ADV 2021 terima peningkatan baharu, penampilan terkini lebih segar dan sporty

Jentera kembara lasak Honda X-ADV buat pertama kalinya diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2016. Untuk pasaran Malaysia, model tersebut dilancarkan pada hujung bulan Disember 2018, dengan tanda harga asas RM 63,299.00 (Standard Colour) dan RM 65,499.00 (Special Colour), tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Menjelang musim depan, Honda baru-baru ini memperkenalkan Honda X-ADV 2021 untuk pasaran Eropah, yang kini telah menerima peningkatan dan kemaskini baharu di beberapa bahagian. Antaranya ialah kerangka baharu yang digunakan kini lebih ringan sebanyak 1 kg, yang kemudiannya dibalut dengan rekaan badan luaran yang bukan saja tampil lebih segar dan sporty, malah kelihatan lebih tajam dan agresif.

Lampu utama LED pula kini dilengkapi dengan lampu DRL (Daytime Running Lights), sama seperti yang digunakan oleh model CRF1100 Africa Twin. Tempat duduk juga kini telah direka semula, di samping ruang simpanan barangan peribadi di bawahnya turut bertambah luas sebanyak 1 liter kepada 22 liter dan dilengkapi port pengecas USB.

Penempatan semula brek parking di sebelah kanan handlebar kini menawarkan lebih kemudahan dan ruang untuk kegunaan glove box baharu. Panel instrumen TFT baharu berukuran 5 inci pula menawarkan teknologi Honda Smartphone Voice Control System, yang boleh disambungkan dengan telefon pintar dan boleh menggunakan suara untuk menguruskan panggilan telefon, email, mendengar muzik dan sistem navigasi.

Honda X-ADV 2021 dikuasakan enjin bersesaran 745cc (Liquid-cooled 4-stroke 8-valve, SOHC parallel 2-cylinder) yang kini memenuhi piawaian emisi Euro 5, dan dipadankan transmisi DCT (Dual Clutch Transmission) enam kelajuan. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum sehingga 58.6PS (43.1kW) @ 6,750rpm dengan tork puncak 69Nm @ 4,750rpm, termasuklah tambahan lagi 600rpm untuk redline pada putaran enjin.

Menurut Honda lagi, nisbah yang lebih pendek untuk gear pertama, kedua dan ketiga pula kini membolehkan X-ADV melakukan pecutan yang lebih pintar, sementara nisbah gear keempat, kelima dan keenam yang lebih panjang menawarkan tunggangan pada kelajuan tinggi yang lebih santai dan tahap ekonomi bahan bakar yang cemerlang.

Honda X-ADV 2021 turut dilengkapi sistem Throttle By Wire (TBW) yang membawakan empat jenis perwatakan enjin melalui pilihan mod Rain, Standard, Gravel dan Sport, termasuklah tambahan mod User yang boleh disesuaikan (customisable). Ianya juga membolehkan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC)  beroperasi dengan lebih lancar, yang kini mempunyai tiga tahap intervensi. Transmisi DCT pula mempunyai jadual peralihan automatik yang berkaitan dengan mod tunggangan.

Untuk aktiviti kembara tanpa batasan, Honda X-ADV 2021 dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 13.2 liter, ketinggian tempat duduk yang selesa pada paras 820 mm, fork depan USD 41 mm dan suspensi belakang monoshock dengan Pro-Link swingarm untuk pengendalian terbaik, serta sistem brek depan dwi-cakera 296 mm dan cakera belakang tunggal 240 mm, dengan 2-channel ABS untuk keselamatan yang terjamin.

Honda X-ADV 2021 untuk pasaran Eropah boleh didapati dalam empat pilihan warna iaitu Pearl Mud Gray, Graphite Black, Matt Beta Silver Metallic dan warna baharu Grand Prix Red. Pelbagai pilihan aksesori asli Honda turut ditawarkan seperti ‘rear carrier’, ‘smart top box’, ’38L / 50L top box’, ‘side protector bars’, ‘fog lights’ dan ‘heated grips’.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?