MV Agusta Superveloce 800 2020, harga bermula 20,000 Euro

Model terbaharu MV Agusta Superveloce 800 model tahun 2020 buat pertama kalinya diperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2019, dalam dua pilihan warna yang menggabungkan warna merah hitam dan putih hitam. Namun dalam bulan Mei 2020, model tersebut hadir dalam dua skim warna baharu yang lebih menarik.

Menurut MV Agusta, perubahan yang dilakukan itu adalah selepas mendengar maklum balas daripada pengkritik terbesar mereka, tidak lain dan tidak bukan ialah para peminat tegar MV Agusta sendiri. Kedua-dua skim warna baharu berkenaan kini hadir dengan kemasan kerangka berwarna emas, yang turut mendominasi di bahagian rim roda.

Skim warna pertama menggunakan warna korporat klasik MV Agusta, merupakan gabungan di antara warna Ago Red dan Ago Silver, manakala skim warna kedua terdiri daripada gabungan warna Metallic Carbon Black dan Dark Metallic Matt Grey. Ternyata penampilan terbaharu MV Agusta Superveloce 800 2020 kini lebih sporty dan elegan.

Untuk pasaran Eropah, model superbike dengan gaya Neo-Classic Racer itu ditawarkan pada harga bermula 20,000 Euro, bersamaan RM 97,633.58 mengikut kadar semasa. Setakat ini MV Agusta tidak lagi ditawarkan di pasaran Malaysia, setelah pengedarnya Demak (DNC Asiatic Holdings Sdn. Bhd.) menutup operasi perniagaan pada 2018.

MV Agusta Superveloce 800 memiliki prestasi yang mengujakan, dilengkapi enjin tiga silinder bersesaran 798cc yang menghamburkan kuasa maksimum mencapai 148hp @ 13,000rpm dengan tork 88Nm @ 10,600rpm. Dengan berat hanya 173 kg (dry weight), model tersebut dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 240 km/j.