Sama seperti model naked Honda CB650R 2021 yang diperkenalkan untuk pasaran Eropah baru-baru ini, kembarnya model sport full fairing Honda CBR650R 2021 turut menerima beberapa kemaskini terbaharu. Paling menonjol ialah kehadiran fork depan upside-down Showa Separate Function front Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm.
Masih mengekalkan enjin bersesaran 649cc (liquid-cooled, 4-stroke, 16-valve, DOHC inline-4 cylinder) dengan teknologi PGM-FI dan transmisi enam kelajuan, enjin tersebut kini telah mematuhi piawaian Euro 5 yang lebih mesra alam. Jumlah keluaran kuasa berada pada paras 93.8hp @ 12,000rpm dengan tork puncak 63Nm @ 8,500rpm.
Penambahbaikan lain yang diterima oleh Honda CBR650R 2021 termasuklah tahap penglihatan instrumen digital LCD yang dipertingkatkan, reflektor lampu depan baharu dan soket pengecas USB jenis Type-C di bawah tempat duduk. Seterusnya panel sisi baharu dan pemegang nombor plat baharu merupakan perubahan kosmetik kecil.
Spesifikasi teknikal yang lain kekal sama seperti model tahun sebelumnya, antaranya sistem lampu depan dan belakang LED, sistem brek ABS dua saluran dengan cakera depan berkembar 310 mm dan cakera belakang tunggal 240 mm, tayar depan dan belakang dalam siri 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17, serta tangki bahan api 15.4 liter.
CBR650R kini boleh didapati dalam dua pilihan warna dengan kemaskini jalur grafik baharu iaitu Matt Gunpowder Black Metallic dan Candy Chromosphere Red. Di pasaran Malaysia, Honda CBR650R 2019 boleh dimiliki pada harga asas RM 45,499.00. Belum dapat dipastikan bilakah versi 2021 ini akan dilancarkan oleh Boon Siew Honda.