Web Analytics
BSH perkenal jentera perlumbaan Honda CBR250RR 2021, versi jalanan dijangka akan dilancarkan pada Disember 2020 – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

BSH perkenal jentera perlumbaan Honda CBR250RR 2021, versi jalanan dijangka akan dilancarkan pada Disember 2020

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) kelmarin secara rasminya melancarkan model cruiser Honda Rebel 2020 terbaharu untuk pasaran Malaysia. Bagaimanapun apa yang paling menarik perhatian di dalam majlis penganjuran tersebut ialah pengenalan jentera perlumbaan Honda CBR250RR 2021, ditawarkan khusus untuk pelumba tempatan.

Menurut BSH, jentera perlumbaan CBR250RR itu hanya akan ditawarkan dalam jumlah terhad 10 unit sahaja, dan pasukan yang berminat perlu membuat permohonan melalui Program Sokongan Perlumbaan (Racing Support Programme) Honda. Jentera itu akan digunakan untuk bersaing dalam kelas 250cc dalam siri Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) bagi musim depan, yang akan bermula dalam bulan April 2021.

Penghantaran jentera berkenaan kepada pasukan yang berjaya dalam permohonan tersebut akan berlangsung pada hujung tahun ini, dijangka dalam bulan Disember 2020. Apa yang menariknya di sini ialah persoalan mengenai kenapa pihak BSH dan Honda secara tiba-tiba menawarkan sebuah jentera 250cc yang amat ditunggu-tunggu oleh peminat motosikal di Malaysia, dalam versi perlumbaan, dan bukannya versi jalanan?

Jawapannya ialah sudah tentu pihak BSH telah merancang untuk melancarkan model Honda CBR250RR 2021 versi jalanan secara rasmi di pasaran Malaysia, pastinya telah dijadualkan pada hujung tahun ini. Serentak dengan itu, promosi awal menerusi pengenalan bersama-sama jentera perlumbaan CBR250RR dirasakan suatu tindakan yang bijak, untuk membuktikan kemampuan sebenar jentera 250cc dua silinder itu.

Sukar dipercayai jika pihak BSH hanya melancarkan CBR250RR versi perlumbaan sahaja untuk pasaran Malaysia, seolah-olah tanpa sebarang hala tuju dan sebab yang jelas. Apa gunanya jentera tersebut menunjukkan kemampuannya di litar, sedangkan versi jalanan tidak turut sama ditawarkan untuk peminat di pasaran tempatan?

Kepada peminat Honda CBR250RR 2021, bersedialah untuk menerima kehadiran model tersebut yang selama ini sangat dinanti-nantikan. Diharapkan pihak BSH akan menawarkannya dengan spesifikasi tertinggi seperti mana di pasaran Jepun, yang tampil dengan kuasa maksimum 41PS @ 13,000rpm dan tork 25Nm @ 11,000rpm.

Ciri-ciri wajib yang perlu ada pula sudah semestinya seperti sistem Assist & Slipper Clutch, Quick Shifter dan Throttle-By-Wire. Berkenaan harga, dijangkakan ianya akan berlegar-legar dalam jumlah sekitar RM 30k, lebih mahal daripada unit yang dijual di pasaran Indonesia, atau mungkin bersamaan dengan harga jualan di pasaran Jepun.

Artikel berkaitan :

 
Arena Motosikal © 2023