Honda CBR250RR 2021 diperkenalkan di pasaran Jepun, kuasa dipertingkatkan, kini dilengkapi Assist & Slipper Clutch

Hari ini bertarikh 23hb. Julai 2020, Honda CBR250RR 2021 akhirnya diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Jepun. Bagaimanapun model tersebut hanya akan mula dijual pada tarikh 18hb. September 2020, dalam empat pilihan warna menarik iaitu Matt Gun Powder Black Metallic, Pearl Glare White, Grand Prix Red dan Tricolour.

Antara maklumat yang ditunggu-tunggu selama ini ialah mengenai jumlah kuasa dan tork yang dimiliki oleh Honda CBR250RR 2021, memandangkan saingannya Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 baru saja dilancarkan dengan kuasa maksimum sehingga 51PS @ 15,500rpm (dengan Ram Air) bersama-sama tork puncak 22.9Nm @ 14,500rpm.

Seperti mana yang dijangkakan, Honda CBR250RR 2021 kini hadir dengan jumlah kuasa maksimum 41PS @ 13,000rpm dan tork maksimum 25Nm @ 11,000rpm. Sebagai perbandingan, Honda CBR250RR model tahun 2019/2020 mempunyai jumlah kuasa maksimum 38.7PS @ 12,500rpm dan tork maksimum 23.3Nm @ 11,000rpm.

Peningkatan jumlah kuasa kuda dan tork tersebut boleh dikatakan signifikan, dengan hanya berbekalkan enjin 249cc dua silinder sahaja berbanding Ninja ZX-25R yang dilengkapi enjin 249.8cc empat silinder. Pada masa yang sama, kelajuan maksimum terdahulu pada angka 179 km/j juga dijangka akan mengalami peningkatan ketara.

Selain itu, Honda CBR250RR 2021 kini dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch, manakala Quick Shifter tersedia sebagai pilihan (optional). Sistem Throttle-By-Wire telah dioptimumkan ketepatan maklumbalasnya, sementara suspensi depan telah dinaik taraf semula untuk pengendalian yang lebih baik di kawasan bandar mahu pun di litar.

Untuk pasaran domestik Jepun, Honda CBR250RR 2021 dalam tiga pilihan warna iaitu Matt Gun Powder Black Metallic, Pearl Glare White dan Grand Prix Red, ditawarkan pada harga 821,700 Yen, bersamaan RM 32,747.72 mengikut kadar semasa. Bagi model Tricolour pula, harganya ialah 854,700 Yen, bersamaan RM 34,062.89.

Pada beberapa bulan yang lepas, tercetus khabar angin bahawa Honda CBR250RR bakal dilancarkan di pasaran Malaysia mulai hujung tahun ini. Harganya mungkin akan melebihi paras RM30k, sama seperti di pasaran Jepun, namun dengan penampilan yang sporty dan enjin yang berprestasi tinggi, pasti ianya berbaloi untuk dimiliki.

(Visited 4,658 times, 1 visits today)