Honda CBR250RR 2021 dilancarkan di pasaran Indonesia, dilengkapi Quick Shifter dan Assist & Slipper Clutch

PT Astra Honda Motor (AHM) hari ini secara rasminya melancarkan model terbaharu Honda CBR250RR 2021 untuk pasaran Indonesia. Pelancaran tersebut menyusul hanya sehari selepas ianya diperkenalkan di pasaran domestik Jepun kelmarin.

Untuk pasaran Indonesia, Honda CBR250RR 2021 kini hadir dengan varian terbaharu yang berada pada kedudukan teratas, iaitu varian SP Quick Shifter. Ianya merupakan tambahan kepada dua varian sebelumnya iaitu varian Standard dan varian ABS.

Bersesuaian dengan namanya, Honda CBR250RR SP Quick Shifter dilengkapi ciri standard terbaharu iaitu Quick Shifter dan Assist & Slipper Clutch. Ini bermakna Honda CBR250RR varian Standard dan varian ABS tidak dilengkapi sistem Quick Shifter.

Bagaimanapun berkenaan sistem Assist & Slipper Clutch, tidak dapat dipastikan sama ada ianya juga eksklusif untuk varian SP Quick Shifter, atau turut dibekalkan sebagai ciri standard untuk varian Standard dan ABS.

Beralih ke bahagian enjin, ketiga-tiga varian Honda CBR250RR 2021 untuk pasaran Indonesia telah menerima peningkatan, sama seperti di pasaran Jepun, iaitu pada angka 41PS @ 13,000rpm bersama-sama tork maksimum 25Nm @ 11,000rpm.

Menurut AHM, model berkenaan hanya memerlukan tempoh masa 8.65 saat untuk mencapai jarak 200m, manakala kelajuan maksimum mampu dicapai sehingga 172 km/j. Ini menjadikannya model sport bike 250cc dua silinder terbaik di dalam kelasnya.

Kembali kepada ciri Quick Shifter, apa yang menariknya ialah ianya didatangkan dengan empat mod, seperti mana penerangan daripada petikan press release berikut :

Terdapat 4 mode Quick Shifter yang dapat disesuaikan yaitu mode yang mengaktifkan Quick Shifter untuk menaikkan dan menurunkan gigi, untuk menaikkan gigi saja, untuk menurunkan gigi saja dan mode Quick Shifter off. Semua mode Quick Shifter yang dihadirkan dapat mengikuti keinginan berkendara sesuai dengan DNA Total Control yang diusungnya.

Antara perubahan baharu lain pada Honda CBR250RR 2021 ialah kemaskini warna dan rekaan grafik terbaharu. Bagi varian SP Quick Shifter, ianya didatangkan dalam pilihan warna Bravery Red Black, Honda Racing Red dan Special Edition Garuda x Samurai.

Berikut ialah senarai varian, pilihan warna dan senarai harga penuh yang ditawarkan untuk Honda CBR250RR 2021 di pasaran Indonesia :

  • 2021 Honda CBR250RR – STD Black Freedom (Rp. 61,600,000)
  • 2021 Honda CBR250RR – STD Mat Gunpowder Black Metallic (Rp. 66,100,000)
  • 2021 Honda CBR250RR – STD Bravery Mat Red (Rp. 66,100,000)
  • 2021 Honda CBR250RR – STD Honda Racing Red (Rp. 66,700,000)
  • 2021 Honda CBR250RR – ABS Mat Gunpowder Black Metallic (Rp. 72,700,000)
  • 2021 Honda CBR250RR – ABS Bravery Mat Red (Rp. 72,700,000)
  • 2021 Honda CBR250RR – ABS Honda Racing Red (Rp. 73,300,000)
  • 2021 Honda CBR250RR – SP QS Bravery Red Black (Rp. 76,700,000)
  • 2021 Honda CBR250RR – SP QS Honda Racing Red (Rp. 77,300,000)
  • 2021 Honda CBR250RR – SP QS Special Edition Garuda x Samurai (harga rasmi akan diumumkan kemudian)

Sebagai panduan, harga paling rendah yang ditawarkan iaitu Rp. 61,600,000 bagi Honda CBR250RR 2021 varian Standard dengan warna Black Freedom adalah bersamaan dengan nilai RM 17,932.61, mengikut kadar tukaran semasa.

Seterusnya bagi varian Honda CBR250RR 2021 SP Quick Shifter dengan pilihan warna Honda Racing Red, harga yang ditetapkan adalah sebanyak Rp. 77,300,000, bersamaan dengan nilai RM 22,503.10 berdasarkan kadar tukaran semasa.

Melihat kepada senarai harga di atas, ternyata Honda CBR250RR 2021 di pasaran Indonesia ditawarkan pada harga yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan harga Kawasaki Ninja ZX-25R 2021, bermula dari RM 28k sehingga RM 33k.

Artikel berkaitan : Honda CBR250RR 2021 diperkenalkan di pasaran Jepun, kuasa dipertingkatkan, kini dilengkapi Assist & Slipper Clutch

(Visited 2,744 times, 1 visits today)