Yamaha MT-09 SP dilengkapi suspensi belakang Öhlins

Selain daripada model terbaharu Yamaha MT-09 2020, pasaran UK turut menawarkan versi lebih premium Yamaha MT-09 SP, yang dilengkapi suspensi belakang Öhlins boleh laras, fork depan berwarna emas dan skim warna eksklusif Silver Blu Carbon.

Yamaha MT-09 SP yang ditawarkan di pasaran UK ketika ini, juga sama seperti di pasaran Jepun, masih mengekalkan penampilan dan spesifikasi terdahulu seperti mana ketika ianya diperkenalkan pada tahun 2018. Ini bermakna sehingga tahun 2020, tiada kemaskini terbaharu untuk Yamaha MT-09 SP, mungkin pada masa akan datang.

Sistem penjana kuasanya sama seperti model Yamaha MT-09 versi standard, iaitu dilengkapi enjin bersesaran 847cc (3-cylinder, 4-stroke, Liquid-cooled, DOHC, 4-valves) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Enjin tersebut menghamburkan kuasa maksimum 115PS @ 10,000rpm dengan tork maksimum 87.5Nm @ 8,500rpm.

Untuk tunggangan yang lebih mudah dan lancar, jentera hyper naked berkenaan juga didatangkan bersama-sama Quick Shift System (QSS) dan Assist & Slipper Clutch. Teknologi kawalan elektronik canggih D-MODE, Traction Control System (TCS) dan sistem ABS meningkatkan lagi tahap kawalannya ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut Yamaha, pengendalian Yamaha MT-09 SP yang lincah disumbangkan oleh penggunaan kerangka aluminium dan lengan ayun yang kompak, menjadikan casis keseluruhan lebih ringan dan berat jisim berpusat pada kedudukan lebih tepat.

Yamaha MT-09 SP turut dilengkapi sistem lampu LED hadapan yang agresif, paparan panel instrumen digital LCD yang istimewa, sistem brek cakera depan berkembar dengan diameter 298 mm, tangki bahan api dengan kapasiti 14 liter, ketinggian tempat duduk 820 mm dan berat keseluruhan hanya 193 kg (wet weight).

Untuk pasaran UK, Yamaha MT-09 SP ditawarkan pada harga bermula £9,747.00, bersamaan RM 53,857.03 mengikut kadar tukaran semasa. Untuk pasaran Malaysia pula, Yamaha MT-09 2020 dijual pada harga asas RM 48,920.00.