Honda CT125 2020 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bersamaan RM 21,241.23

PT Astra Honda Motor (AHM) secara rasminya kelmarin melancarkan model kapcai trekking Honda CT125 untuk pasaran Indonesia. Model tersebut sebelum ini turut dilancarkan di pasaran Jepun dan Thailand, bersedia untuk menemani pemiliknya dalam menjelajah kawasan denai dan hutan, untuk pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Menurut AHM, Honda CT125 diwujudkan sebagai pilihan untuk kegunaan aktiviti outdoor yang pelbagai, bermula dengan model Honda CA100T Trail 50 yang diperkenalkan pada tahun 1961. Konsep motosikal tersebut dikhususkan untuk aktiviti-aktiviti seperti menjaga kawasan pertanian yang luas, bepergian ke kawasan pergunungan, atau untuk melakukan aktiviti hobi seperti berkhemah dan memancing.

Pada tahun 1964, nama legenda CT dilahirkan dan pertama kali digunakan pada model Honda CT200 Trail 90. Kemudiannya pada tahun 2020, produk yang sudah berusia hampir 60 tahun ini direkabentuk semula dengan perspektif moden terbaharu, yang dikenali dengan teknologi terkini melalui model Honda CT125 serba baharu.

Menurut AHM lagi, Honda CT125 dibekalkan enjin bersesaran 125cc dengan teknologi PGM-FI, kotak gear empat kelajuan dan sistem sejukan udara, yang memberikan respon yang menyenangkan untuk aktiviti trekking dan kembara, mahu pun untuk tunggangan di kawasan bandar. Jumlah kuasa yang dihamburkan adalah sebanyak 8.7hp (6.5kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 11Nm @ 4,500rpm.

Honda CT125 juga didatangkan dengan banyak ciri-ciri dan fungsi yang memberi lebih kemudahan, seperti sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital dengan rekaan kompak dan moden, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 5.3 liter, roda berdiameter 17 inci yang elegan untuk pengendalian yang lebih stabil, brek cakera depan dengan ABS, brek cakera belakang, dan rak belakang yang besar dan kuat.

Untuk pasaran Indonesia, Honda CT125 model tahun 2020 terbaharu ini tersedia dalam satu pilihan warna tunggal iaitu Glowing Red, dengan harga jualan Rp 75,000,000.00 (OTR DKI Jakarta). Harga tersebut bersamaan RM 21,241.23 mengikut kadar semasa, lebih mahal berbanding harga yang ditawarkan di pasaran Thailand dan Jepun.