Web Analytics
Honda Winner X di pasaran Singapura, harga bersamaan RM 16,398.35 – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Honda Winner X di pasaran Singapura, harga bersamaan RM 16,398.35

Model moped sensasi Honda Winner X dilancarkan di pasaran Vietnam pada bulan Julai 2019 yang lepas, dan kemudiannya versi kemaskini warna terbaharu telah diperkenalkan baru-baru ini pada tarikh 22hb. Ogos 2020. Sehingga kini Vietnam merupakan pasaran tunggal yang menjual motosikal tersebut secara rasmi.

Bagaimanapun di pasaran Singapura bermula pertengahan tahun ini, Honda Winner X didapati telah mula dijual, seperti mana yang diiklankan di dalam laman-laman jual beli dan laman-laman sosial di negara republik tersebut. Jadi adakah Boon Siew Honda Singapore telah melancarkan Honda Winner X di pasaran Singapura secara rasmi?

Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang Boon Siew Singapore, tiada paparan model Honda Winner X di samping model-model motosikal lain yang dijual di negara tersebut. Ini bermakna model berkenaan belum dilancarkan dan dijual secara rasmi oleh Boon Siew Singapore, dan perkara ini telah menimbulkan persoalan.

Apa yang boleh dikatakan ialah pengimport bebas di negara Singapura mempunyai kebenaran untuk mengimport model-model motosikal terbaharu masuk ke pasaran negara tersebut, dan boleh dijual tanpa sebarang sekatan daripada pengedar sah yang asal. Kelihatan seperti Boon Siew Singapore ketinggalan dan terlepas peluang.

Bagaimanapun situasi di Singapura tentu tidak sama dengan di Malaysia, apabila Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) merupakan satu-satunya pengedar tunggal untuk model-model keluaran terbaharu, kecuali bagi model-model motosikal berkuasa tinggi. Jika tidak sudah tentu ada syarikat tempatan yang telah membawa masuk Honda Winner X.

Di pasaran Singapura, Honda Winner X dijual pada harga sebanyak $5,380, bersamaan RM 16,398.35 mengikut kadar tukaran semasa. Harga tersebut tidaklah tinggi kerana nilai mata wang Singapura yang besar. Bagaimanapun ianya mungkin menjadi kekangan untuk peminat dari negara kita untuk membeli motosikal tersebut dari sana.

Sumber gambar : i-Motoring Singapore FB

 
Arena Motosikal © 2023