Pada awal Julai 2020 yang lalu, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. selaku pengedar sah motosikal berjenama Benelli di pasaran tempatan, secara rasminya memperkenalkan tiga pilihan warna baharu yang menarik untuk model Benelli Leoncino 500.
Tiga pilihan warna baharu tersebut dikenali dengan nama Matte Red, Matte Green dan Matte Grey, manakala harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak RM 29,288.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Model tersebut turut hadir dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau jarak perjalanan sehingga 20,000 km.
Benelli Leoncino 500 model tahun 2020 masih mengekalkan enjin bersesaran 499.6cc (2-Cylinder In-line, 4 Stroke, DOHC, 8 Valves, Liquid Cooled), dan dipadankan transmisi enam kelajuan yang lancar. Keluaran kuasa daripada enjin mencapai angka 46.9hp (35kW) @ 8,500rpm, dengan tork setinggi 45Nm @ 5,000rpm.
Ciri-ciri menarik yang melengkapi Benelli Leoncino 500 termasuklah panel meter digital, sistem lampu LED, fork depan upside-down, suspensi belakang monoshock boleh laras, dan brek cakera dengan sistem ABS. Selain itu tangki bahan apinya mempunyai kapasiti isian penuh 12.7 liter, dengan berat kering motosikal pada paras 196 kg.
Sumber gambar dari : Roda-Roda