Pada awal Julai 2020 baru-baru ini, pasaran Vietnam secara rasminya telah menerima kehadiran model sport bike terbaharu CFMOTO 300SR 2020. Model tersebut buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran negara asalnya China pada bulan Mac 2020 yang lepas, dan Vietnam menjadi negara kedua di dunia yang melancarkannya.
Spesifikasi yang melengkapi CFMOTO 300SR ini boleh dikatakan agak impresif dan tanpa ragu-ragu akan mampu menarik minat ramai pengguna motosikal di negara tersebut. Harga yang ditawarkan adalah sebanyak 115,000,000 VND, bersamaan RM 21,142.70 mengikut kadar tukaran semasa. Harga tersebut boleh dikatakan berpatutan.
Namun begitu sebagai perbandingan, Yamaha YZF-R3 yang turut ditawarkan di pasaran Vietnam dijual pada harga sebanyak 129,000,000 VND, bersamaan RM 23,716.60 mengikut kadar tukaran semasa. Mungkin persaingan di antara kedua-duanya nampak sengit, namun semuanya bergantung kepada minat para pembeli.
Untuk pasaran Vietnam, CFMOTO 300SR ditawarkan dalam varian High Version yang dilengkapi klac jenis slipper clutch, sistem brek ABS dan panel instrumen TFT. Enjinnya bersesaran 292.4cc (single-cylinder, liquid-cooled, DOHC, 4 valves) dengan sistem suntikan bahan api BOSCH EFI, dan dipadankan transmisi enam kelajuan. Kuasa yang dihasilkan mencapai angka 28.7hp @ 8,750rpm dengan tork 25.3Nm @ 7,250rpm.
Melengkapkan lagi penampilan model tersebut ialah melalui kehadiran sistem lampu LED sepenuhnya, suspensi depan dengan fork jenis upside-down 37 mm, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan (292 mm single disc, opposite four-piston caliper) dan belakang (220 mm single disc, single-piston floating caliper) dengan sistem ABS Continental, dan panel instrumen TFT dengan ciri mod Sport dan Eco.
Seterusnya rim aloi aluminium dengan rekaan bilah Y yang bergaya dipasangkan tayar dalam siri 110/70 R17 di bahagian depan dan 140/60 R17 di bahagian belakang. CFMOTO 300SR mempunyai ketinggian pelana 780 mm, tangki bahan api dengan isian maksimum 12 liter, berat 165 kg (curb weight), serta pilihan warna biru dan hitam.
Berbanding pasaran Vietnam, pasaran Malaysia akan turut menerima kehadiran model yang hampir sama, namun dengan kapasiti enjin yang berbeza. Pada 25hb. Julai 2020 akan datang, CFMOTO Malaysia bakal melancarkan model terbaharu CFMOTO 250SR 2020, seperti mana pengumuman sebelum ini. Sama-sama kita tunggu ketibaannya.