Laman Facebook KTNS CFMOTO Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran model sportbike CFMOTO 250SR yang ditunggu-tunggu akan berlangsung pada tarikh 25hb. Julai 2020. Bagaimanapun lokasi pelancaran tidak diumumkan, berkemungkinan besar ianya akan dilakukan secara online sahaja melalui laman Facebook rasmi mereka.
Seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, tempahan untuk CFMOTO 250SR telah pun dibuka, dan harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM 15,800.00. Harga tersebut boleh dikatakan sangat kompetetif memandangkan model tersebut dilengkapi enjin 250cc dengan transmisi enam kelajuan, di samping reka bentuknya yang sporty.
Untuk pasaran China, CFMOTO 250SR telah diperkenalkan dalam varian High Version dan Standard Version. Varian High Version dilengkapi klac jenis slipper clutch, sistem brek ABS dan panel instrumen TFT, manakala varian Standard Version dilengkapi klac jenis wet multi-plate, sistem brek CBS dan panel instrumen monochrome LCD.
Enjin CFMOTO 250SR bersesaran 249.2cc (single-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC), dilengkapi sistem BOSCH EFI dan transmisi enam kelajuan yang lancar. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 27.5hp @ 9,750rpm dengan tork puncak 22Nm @ 7,500rpm. Enjin tersebut juga dikatakan telah mematuhi piawaian EURO 4.
Ciri-ciri lain yang melengkapi CFMOTO 250SR termasuklah lampu LED sepenuhnya, skrin TFT dengan penunjuk mod Sport dan Eco, fork depan jenis upside-down, tayar radial berjenama CST dengan ukuran 110/70-R17 (depan) dan 140/60-R17 (belakang), rim aloi aluminium dan sistem brek cakera depan (292mm) dan belakang (220mm).
Bagaimanapun untuk pasaran Malaysia, kita perlu menunggu sehingga tiba tarikh pelancaran rasminya pada 25hb. Julai 2020 akan datang, untuk melihat spesifikasi penuh, varian, pilihan warna dan harga sebenar yang akan ditawarkan. Sebelum itu, saksikan dahulu gambar-gambar menariknya dalam paparan galeri di bawah.