Pada tahun 2008, Suzuki Shogun 125RR dan Suzuki Shogun 125SP dilancarkan untuk pasaran Malaysia

Model moped yang pernah popular suatu ketika dahulu, Suzuki Shogun 125RR dan Suzuki Shogun 125SP, buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran tempatan pada bulan September 2008. Kedua-dua model tersebut diedarkan oleh Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd., yang ketika ini dikatakan bakal terkubur tidak lama lagi.

Suzuki Shogun 125RR dan Suzuki Shogun 125SP, kedua-duanya dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 124cc SOHC yang sama, dengan sistem penyejukan jenis udara dan sistem penyampaian bahan api menggunakan karburator berjenama Mikuni. Enjin tersebut dikatakan bukan saja berkuasa, malah menjimatkan penggunaan petrol.

Bagaimanapun kedua-dua model tersebut mempunyai perbezaannya yang tersendiri, apabila Shogun 125RR dilengkapi kotak gear dengan klac automatik, manakala Shogun 125SP dilengkapi kotak gear dengan klac tangan manual. Ini bermakna Shogun 125SP disasarkan kepada penunggang yang mahukan ciri tunggangan yang lebih agresif.

Spesifikasi lain yang melengkapi Shogun 125RR dan Shogun 125SP termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang konvensional jenis berkembar, sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang, serta tangki bahan api dengan isian maksimum 4.3 liter. Saiz tayar untuk kedua-duanya ialah 70/90-17 (depan) dan 80/90-17 (belakang).

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Shogun 125RR dan Shogun 125SP adalah seperti sistem kunci berpusat dengan penutup lubang kunci bagi mengelakkan kecurian, lampu depan multi-reflektor yang terang, lampu brek dengan 6 lampu LED yang lebih terang dan mudah dilihat, ruang simpanan di bawah tempat duduk seluas 7 liter, dan penambahan fungsi ‘balancer’ di bahagian enjin untuk mengurangkan getaran.

Suzuki Shogun 125RR dan Suzuki Shogun 125SP turut ditawarkan pilihan sistem ekzos daripada Yoshimura, yang menawarkan bunyi yang lebih sporty. Ekzos canggih yang direka khas itu juga dikatakan tidak panas apabila disentuh walaupun telah menempuh perjalanan yang jauh. Akhir sekali, pilihan warna yang ditawarkan enam kesemuanya.

Sumber rujukan : Motorev.com.my

(Visited 123 times, 1 visits today)