Honda Super Cub C125 ABS 2022 kini di pasaran USA, harga jualan $3,799.00

Pada bulan Disember 2021 yang lalu, model kapcai bertaraf legenda Honda Super Cub C125 ABS 2022 telah diumumkan tiba di pasaran USA. Harga jualan yang ditawarkan untuk model tersebut adalah sebanyak $3,799.00, bersamaan RM 16,647.22 mengikut kadar semasa. Pilihan warna tunggal yang tersedia pula ialah Matte Gray Metallic.

Honda Super Cub C125 ABS dikuasakan enjin dalam sesaran 124cc (air-cooled, single-cylinder, four-stroke, SOHC; two valves) dengan kelengkapan teknologi suntikan bahan api PGM-FI. Enjin tersebut seterusnya digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan yang lancar, dan menjana kuasa 9.8PS @ 7,500rpm dengan tork 10Nm @ 6,250rpm.

Senarai spesifikasi teknikal lain yang melengkapi model tersebut antaranya termasuklah fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang jenis berkembar, brek cakera depan dengan ABS, brek belakang jenis dram, tayar depan dan belakang dalam siri 70/90-R17 dan 80/90-R17, dan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 1.0 gelen (3.7 liter).

Melengkapkan lagi spesifikasi Honda Super Cub C125 ABS 2022 ini ialah sistem lampu LED sepenuhnya dan paparan panel meter dengan gabungan analog dan digital. Untuk pasaran USA, Honda Super Cub buat pertama kalinya diperkenalkan pada tahun 1958, dan ianya terkenal dengan kempen pengiklanan popular “You meet the nicest people”.