
Skuter dua silinder VOGE SR450X dilancarkan secara rasminya di China pada 27 Jun 2026, hampir sebulan selepas tampil di Mforce MotoXperience 2026.
Pun begitu, tempahan untuk VOGE SR450X sudah dibuka lebih awal di China namun tiada pengumuman harga dibuat sehingga tarikh pelancaran rasmi.

Harga rasmi VOGE SR450X di China ialah RMB34,980 (anggaran RM21,024). Ada dua warna pilihan disediakan untuk pelanggan di China iaitu putih dan hitam.
Ada satu kisah tentang SR450X yang anda perlu tahu. Skuter ini ditala untuk tiga senario tunggangan yang dipanggil 631. Maksudnya:
- 60 peratus: tunggangan bandar
- 30 peratus: jelajah atas tar (touring)
- 10 peratus: off-road ringan
Semua talaan ini dibuat dengan menekankan aspek keselesaan, kelincahan kawalan dan sifat serba boleh (versatil) secara menyeluruh.
Sebelum bangunkan skuter SR450X, VOGE ada membuat penyelidikan awal dengan mendengar cadangan dan maklum balas daripada lebih 2,000 penunggang motosikal.
VOGE SR450X menjadi skuter popular di Malaysia semenjak pelancarannya di MAEPS Serdang. Mengapa? Mungkin kerana ini sebuah skuter berserta pakej lengkap selain enjin jenis 2-silinder sebaris.
Enjin dwi-silinder sebaris digunakan adalah buatan LONCIN (KSL400) berkapasiti 398cc DOHC 8-injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.
Menariknya, data kuasa SR450X di China berbeza dengan model dipertonton di Pameran EICMA dan Malaysia. Tork kekal sama.
Di China, output kuasa ialah 31kW (41.57hp) @ 7,500rpm dan tork 42Nm @ 5,750rpm. Di Malaysia, data kuasa awal dikongsi adalah 32kW (43.5hp) @ 8,000rpm.
Enjin VOGE SR450X ada shaf imbangan untuk membantu kurangkan kesan getaran. Maklumat lain dikongsi ialah ruang simpanan bawah tempat duduk sebesar 45 liter, tangki minyak 18 liter, sistem suspensi KYB boleh laras depan dan belakang serta ciri pemanas pelana dan grip tangan.
Meter jenis TFT berwarna 7 inci, sistem pencahayaan LED penuh, penghadang angin elektrik, kamera dashcam depan-belakang, radar pemantau titik buta.
Rim depan 17 inci, belakang 14 inci dengan balutan tayar Maxxis. Sistem Brek ABS dua saluran boleh dipadamkan dan ada Kawalan Cengkaman (TCS).
























